Skip to main content

Malaysia

“Saya dilambung dua kali” - Mangsa tandukan kerbau

https://www.sinarharian.com.my/article/781686/berita/semasa/kerbau-korban-mengamuk-seorang-maut-seorang-patah-tulang-rusuk-kiri
Shaifirol yang hadir ke pusat itu hanya ingin menyaksikan proses ibadah korban tidak menyangka insiden pertama kali menimpanya itu turut tular di media sosial. - Gambar fail

JOHOR BAHRU: "Saya cuba melarikan diri dengan melompat melepasi tali tetapi terjatuh sebelum ditanduk dan dilambung sebanyak dua kali," kata Shaifirol Shahlan, 45, yang patah tiga tulang rusuk ditanduk kerbau di pusat sembelihan di Batu 19 Kampung Sungai Tiram di sini pada Rabu lepas.

Shaifirol yang hadir ke pusat itu hanya ingin menyaksikan proses ibadah korban tidak menyangka insiden pertama kali menimpanya itu turut tular di media sosial.

“Ketika kejadian mencemaskan itu, saya berada di sebelah pusat sembelihan dan melihat kerbau berkenaan bertindak agresif semasa ditarik ke pusat sembelihan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Batu 20, Kampung Sungai Tiram di sini hari ini.

Mandor di sebuah ladang di Felda Ulu Tebrau itu dibawa oleh penduduk ke Hospital Sultan Ismail sejurus kejadian dan dimasukkan ke wad sekitar 10 malam untuk mendapatkan rawatan.

“Selepas ditanduk saya rasa senak di bahagian perut dan lama-kelamaan sukar untuk bernafas, tetapi sampai sahaja di hospital rasa lega sedikit selepas diberikan bantuan pernafasan,” katanya.

Shaifirol berkata kejadian itu juga menyebabkan dia mengalami luka di bahagian perut akibat tandukan serta kecederaan pada tangan disebabkan geseran tali.

Bapa kepada tiga anak itu telah dibenarkan pulang pada 10 malam tadi dan diberikan cuti selama dua minggu.

"Sekarang saya boleh berjalan perlahan dan kena duduk di kerusi yang tinggi, tidur pun tidak boleh baring seperti biasa," katanya sambil mengakui tidak trauma dengan kejadian itu dan akan terus menyertai mana-mana proses ibadah korban pada masa akan datang. 

Pada masa sama, Shaifirol menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan sekeliling kerana kejadian seumpama itu yang melibatkan haiwan boleh berlaku di luar jangkaan.

Terdahulu, video berdurasi 40 saat yang memaparkan mangsa ditanduk kerbau tular di media sosial.

--BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement