MALAYSIA
'Saya rindukan walid, umi dan adik-adik tapi mereka sudah tiada' - Putri Qisya
JERLUN: “Saya rindukan walid, umi dan adik-adik... tapi mereka semua dah tiada.”
Itu luahan Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim, 12, satu-satunya anak yang terselamat dalam tragedi menyayat hati di Sungai Korok, Jitra, yang meragut enam nyawa ahli keluarganya serentak.
Puteri Qisya kini yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa dan empat adiknya dalam kejadian tersebut.
Dia kini menumpang kasih pada datuk, nenek serta keluarga terdekat di Kampung Bohor Karang.“Hari ini ramai cikgu dan ustazah datang beri semangat. Mereka minta Qisya sentiasa doakan arwah umi dan walid.
"Mereka kata Qisya anak solehah, umi dan walid tunggu di sana,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya pada Selasa.
Meskipun masih dalam kesedihan, Qisya menunjukkan ketabahan luar biasa.
Dia berazam untuk meneruskan persekolahan seperti biasa dan mencapai cita-citanya.
“Saya nak jadi juruterbang pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Saya akan ingat pesanan umi dan walid supaya saya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Menurut Qisya, dia sangat rapat dengan adik-adiknya kerana sering membantu ibunya menjaga mereka ketika ibu bapa keluar bekerja.
“Saya selalu tolong umi jaga adik-adik. Sekarang saya kena kuat dan teruskan hidup,” katanya sambil menundukkan wajah.
Dalam kejadian Sabtu lalu, kereta Proton Iswara yang dinaiki keluarga Qisya dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam terusan di Sungai Korok.
Mangsa yang terkorban ialah ibu bapanya, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, serta empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan bayi lelaki, Tuah Haydar, enam bulan.
Kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bohor Karang pada malam Isnin. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami