picture-sadsadwa.jpg
Oleh : Huda Hussien

Pendekatan Ajai dalam mendidik anak-anak?
Sudah tentunya pelajaran diutamakan, tetapi saya lebih suka layan anak-anak dan anggap mereka seperti kawan. Bersikap terbuka tetapi dengan cara orang Melayu – bukan seperti orang Barat ya! Saya percaya kepada sopan-santun dan apa sahaja yang ada pada individu itu datangnya dari rumah. Apa yang saya fokus dalam mendidik anak-anak adalah daripada segi keterbukaan dalam perbincangan. Mereka boleh berkongsi apa jua masalah dengan saya, baik peribadi mahupun akademik. Malah bagi anak perempuan misalnya dari kecil hingga remaja kemudian dewasa sehingga berkahwin, saya rasakan tanggungjawab itu sentiasa ada. Tidak kiralah setinggi mana tahap akademik anak-anak itu, bagi saya dia tetap anak saya dan tanggungjawab saya. Prinsip tentang perkara-perkara asas untuk menjalani kehidupan seharian perlu ada. Misalnya solat jangan tinggal, hormat orang tua, merendah diri dengan semua orang. Jangan sasarkan hanya kelompok tertentu sahaja yang mahu dijadikan kawan, sering membantu antara satu sama lain. Kemasyarakatan itu penting, lebih banyak melihat kekurangan, lebih baik mensyukuri dan jadikan tauladan.

Nilai-nilai yang diwarisi daripada ayah Ajai yang diterapkan kepada anak-anak?
Protokol kehidupan didikannya bermula dari rumah. Asasnya adalah didikan agama dan minta restu ibu bapa. Bapa saya bekerja di Kementerian Pelajaran, mak saya pula jururawat. Kalau bercakap mengenai Kementerian Pelajaran, maklum sajalah buku itu umpama makanan bagi kami adik-beradik kerana mereka amat menitikberatkan pendidikan. Kalau kena rotan itu suatu yang lumrah sementelah anak-anak ramai tetapi tidak terlalu ekstrim misalnya dengan getah paip, tali pinggang dan seumpama dengannya. Disiplin dan berdikari yang menjadi pegangan saya dan diterapkan pada anak-anak.

Cara Ajai menzahirkan kasih sayang kepada anak-anak bagaimana?
Berlakunya perceraian itu memberi banyak manfaat dan membuka mata saya – baik bekas isteri mahupun Ayu. Natijahnya ia banyak mengajar saya supaya lebih rapat dan akrab dengan anak, lebih bersedia, lebih terurus dalam segala segi. Saya tidak mempunyai cara yang spesifik untuk buktikan kasih sayang kepada anak. Cuma mungkin stail saya adalah memasak untuk mereka. Saya tidak terlalu ekstrim misalnya balik rumah mahu peluk cium anak-anak. Kerana saya lebih memikirkan soal keselamatan mereka. Malah saya sendiri meletakkan limitasi memandangkan kedua-duanya perempuan, jadi nak bermanja pun ada hadnya.


Cabaran mendidik anak-anak zaman digital era kini, komen Ajai?
Saya lebih suka memberi pengajaran dengan melihat daripada perspektif yang negatif. Misalnya bad words, saya akan terangkan apa impaknya. Saya bukan sekadar mengajar anak tentang benda-benda baik sahaja tetapi impak perkara buruk juga saya terangkan supaya mereka faham.

Mahu anak-anak membesar sebagai…
Manusia yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Saya tidak menghalang anak-anak mahu memilih apa jua profesyen sekalipun, asalkan ia memberi manfaat kepada diri mereka.