KUALA LUMPUR: Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan beliau tidak berhasrat menyertai politik selepas menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebaliknya mahu terus berpegang kepada prinsip sebagai seorang pegawai polis.
Beliau berkata urusan politik sewajarnya diserahkan kepada ahli politik kerana beliau tidak pernah bercita-cita untuk menceburi bidang berkenaan.
“Politik, politik serah kepada orang politik. Saya bukan 'politician'. Kalau nak suruh saya jadi negarawan, saya nak jadi.
"Apa beza negarawan dengan ahli politik? Ahli politik memikirkan lima tahun lagi untuk kekal, tetapi negarawan memikirkan 20 tahun akan datang.
“Saya bukan 'orator' dan saya bukan ahli politik. Saya seorang pegawai polis.
"Politik, serahkan kepada orang politik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, pada Ahad.
Ketika ditanya sama ada beliau pernah berdepan campur tangan politik dalam menjalankan tugas, Ayob Khan berkata sepanjang perkhidmatannya beliau tidak pernah berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang negara.
Beliau memberi contoh operasi antikeganasan pada November 2019 yang menyaksikan penahanan 15 individu, termasuk dua pemimpin parti kerajaan ketika itu.
“Saya tangkap juga. Adakah itu menunjukkan ada campur tangan politik? Tidak ada.
“Kalau seseorang melintasi garisan undang-undang, saya akan tangkap. Kita tidak kira sama ada daripada parti kerajaan atau pembangkang,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya Malaysia mahu memiliki pasukan polis bertaraf dunia, PDRM perlu diberikan kebebasan untuk melaksanakan penguatkuasaan tanpa campur tangan mana-mana pihak.
“Kalau kita hendak menjadi pasukan polis bertaraf dunia, kita kena beri ruang kepada polis untuk menguatkuasakan undang-undang. Jangan campur tangan.
“Tidak kira siapa pun, jika melanggar undang-undang, tindakan mesti diambil,” katanya.
Ayob Khan berkata prinsip itu dipegang sepanjang lebih 34 tahun beliau berkhidmat dalam PDRM.
“Saya akan bercakap berdasarkan fakta. Kalau betul, saya kata betul. Kalau salah, saya kata salah.
"Saya tidak kisah siapa pun individu terbabit. Kalau dia melanggar undang-undang, pasti akan ditangkap,” katanya.