KUALA LUMPUR:Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi penegasannya tidak menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau memang mempunyai niat untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Anwar pada ketika itu.

“Tidak... saya tidak menentangnya menjadi Perdana Menteri. Bagaimanapun, dia (Anwar) inginkan saya untuk meletak jawatan sebelum saya sempat menyelesaikan tugas saya.

“Saya memberitahunya, saya akan meletak jawatan. Sebenarnya, saya memberitahunya supaya memberikan saya enam bulan kerana saya ada tugas untuk buat,” katanya dalam satu temu bual dalam rancangan radio Breakfast Grille BFM pada Jumaat.

BACA: Dr Mahathir dakwa Muhyiddin Yassin diktator

Bagaimanapun,  dari satu aspek lain, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, Anwar hanya boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya beliau mendapat sokongan majoriti daripada anggota Parlimen.

BACA: Muhyiddin belum tunjuk kemampuan teraju negara - Tun M

“Ya, dia akan menjadi Perdana Menteri tetapi terdapat satu perkara yang perlu diakui, dia mesti dapat sokongan majoriti.

“Saya tidak boleh menentukannya. Saya tidak boleh kata ‘anda boleh jadi Perdana Menteri'. Anda mesti mendapat sokongan majoriti anggota Parlimen,” katanya.

Untuk rekod, pada Jun lepas, Dr Mahathir Mohamad mendedahkan bahawa cadangan menamakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri turut dipersetujui beberapa pemimpin kanan Pakatan Harapan lain.