Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed menegaskan beliau tidak terlibat dalam pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika memegang jawatan itu pada 2016.

Jelasnya, pada ketika itu beliau telah cuba untuk mendapatkan laporan asal dari Ketua Audit Negara dan terdapat percubaan untuk memberitahu tentang beberapa perkara yang terdapat dalam laporan tersebut.

“Saya tidak terlibat dalam pindaan laporan audit itu. Terdapat percubaan untuk memberi penerangan kepada kita mengenai sesuatu yang tidak diterbitkan dalam laporan itu.

"Oleh itu, kita terus bergerak ke hadapan dan memulakan siasatan mengenai perkara itu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Anti Rasuah Sheikh Tamin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad mempertahankan dakwaannya bahawa terdapat pengubahan kepada laporan audit akhir 1MDB yang dibentangkan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), pada Mac 2016.

Katanya segala bukti dan dokumen telah diserahkan kepada PAC sewaktu memberi keterangan hampir tiga jam kepada jawatankuasa itu di bangunan Parlimen.