KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengenakan celaan ke atas Remitano kerana mengendalikan bursa aset digital (DAX) di Malaysia tanpa kebenaran dan telah memasukkan entiti itu ke dalam senarai Peringatan Pelabur SC.

Dalam satu kenyataan, SC berkata ia memandang serius pelanggaran ini dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat laman web Remitano.

Pengawal selia itu juga telah memohon Google dan Apple untuk menghentikan operasi aplikasi mudah alih Remitano di Malaysia.

Ia berkata mengendalikan DAX tanpa kebenaran daripada SC untuk didaftarkan sebagai Pengendali Pasaran Berdaftar (RMO) merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 7 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

"Sekiranya seseorang individu disabitkan kesalahan tersebut, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Ia menambah pelabur digesa untuk segera menghentikan dagangan melalui platform tersebut dan menarik balik semua pelaburan mereka sebelum laman web Remitano disekat dan tidak dapat diakses di Malaysia.

SC berkata sejak dua tahun yang lalu, ia telah mempergiat usahanya dalam memerangi skim pelaburan haram melalui pelbagai kempen kesedaran pencegahan penipuan yang dilancarkan melalui platform lnvestSmart SC untuk mengingatkan para pelabur secara berterusan agar berhati-hati sebelum melabur dalam skim-skim pelaburan terutamanya yang ditawarkan melalui media sosial dan platform pesanan.

Katanya kempen-kempen ini telah dijalankan melalui televisyen, radio, platform media sosial dan laman web termasuk laman khusus bagi pencegahan penipuan di laman web SC.

"Selain itu, senarai Peringatan Pelabur SC juga sentiasa dikemas kini di samping pengumuman media dan hantaran media sosial InvestSmart(R) untuk mengingatkan orang ramai mengenai maklumat terkini," tambahnya.

Ia berkata mereka yang berurusan dengan entiti atau individu yang tidak berlesen atau tidak berdaftar adalah tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia dan oleh itu, terdedah kepada risiko seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

"Orang ramai digesa memaklumkan kepada SC sekiranya mereka mendapati mana-mana laman web yang mencurigakan serta menerima panggilan telefon atau e-mel yang menawarkan pelaburan yang tidak sah terutamanya yang menjanjikan pulangan tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko," kata SC.

Pertanyaan atau aduan boleh diajukan kepada SC melalui talian: +603 6204 8999 atau e-mel: [email protected] manakala Senarai Peringatan Pelabur SC boleh didapati di https://www.sc.com.my/regulation/enforcement/investor-alerts/sc-investoralerts/investor-alert-list

-- BERNAMA