KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah memenangi saman sivil dagangan orang dalam terhadap bekas ketua pegawai eksekutif GW Plastics Holdings Bhd Lim Kok Boon dan rakannya Cheah Mean Har, yang diarah membayar SC sejumlah RM2.015 juta.

Mahkamah Tinggi, yang hari ini membuat keputusan memihak kepada SC, telah memerintahkan Lim, 66, yang juga pengarah eksekutif bukan bebas syarikat itu pada masa berkenan serta Cheah, 47, masing-masing membayar SC, RM142,500 duit dari hasil haram iaitu tiga kali ganda keuntungan yang diperoleh Cheah daripada pelanggaran dagangan orang dalam.

"Lim dan Cheah juga dikehendaki membayar penalti sivil masing-masing sejumlah RM1 juta serta RM500,000. Selain itu, mahkamah memerintahkan Lim dan Cheah membayar kos masing-masing RM200,000 dan RM30,000 kepada SC.

"Lim juga dilarang dilantik sebagai pengarah syarikat senaraian awam bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh penghakiman mahkamah pada 22 April 2024. Mahkamah Tinggi mendapati Lim telah melanggar Seksyen 188(3)( a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) apabila beliau menyampaikan maklumat penting bukan umum kepada Cheah," kata SC dalam satu kenyataan malam ini.

Menurut SC, Cheah kemudiannya memperoleh saham GW Plastics pada 25 Sept dan Sept 27 pada 2012, serta didapati bertanggungjawab oleh Mahkamah Tinggi atas pelanggaran di bawah seksyen 188(2)(a) CMSA.

Maklumat penting tersebut berkaitan dengan perjanjian penjualan saham yang dicadangkan antara GW Plastics dan Scientex Packaging Film Sdn Bhd selain cadangan pengagihan hasil tunai hasil daripada perjanjian penjualan saham kepada pemegang saham GW Plastics.

Maklumat itu diumumkan oleh GW Plastics kepada Bursa Malaysia pada 3 Okt 2012.

"Keputusan ini akan bertindak sebagai penghalang terhadap dagangan orang dalam, menandakan keazaman SC untuk menegakkan integriti pasaran. Akauntabiliti bersama orang dalam korporat termasuk peniaga menggariskan komitmen SC dalam menangani salah laku pasaran dan penyalahgunaan yang boleh menjejaskan integriti pasaran modal," kata SC.

Kedua-dua Lim dan Cheah telah memfailkan rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi hari ini.

-- BERNAMA