KUALA LUMPUR: Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) tidak tahu menahu tentang apa-apa penjelasan lain yang mungkin dan sebarang khabar angin atau laporan mengenai perniagaan serta hal ehwal kumpulan yang mungkin menyumbang kepada aktiviti dagangan saham syarikat yang menjunam lebih 15 peratus daripada harga rujukan.

SCIB dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata kumpulan itu mematuhi Keperluan Penyenaraian (LR) Bursa Malaysia Securities Bhd khususnya Perenggan 9.03 tentang kewajipan untuk membuat pendedahan segera.

Menjawab pertanyaan mengenai sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang belum diumumkan sebelum ini, SCIB berkata pihaknya pada 4 Jan, 2024 telah menerima surat tawaran daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak untuk mengambil alih tanah seluas 8.90 hektar bagi mengembangkan kapasiti pengeluaran kumpulan itu.

"Pihak pengurusan sedang berbincang dan mempertimbangkan penerimaan cadangan itu. Lembaga Pengarah percaya adalah lebih wajar untuk membuat pengumuman tersebut kepada Bursa Securities sebaik sahaja keputusan dicapai," katanya dalam maklum balas kepada pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) yang dikeluarkan oleh Bursa Securities.

SCIB juga berkata syarikat tersebut tidak menyedari sebarang perkembangan korporat berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan yang belum diumumkan sebelum ini, yang mungkin mengambil kira aktiviti dagangan sahamnya termasuk yang sedang di peringkat rundingan atau perbincangan.

Bursa Malaysia menggantung jualan singkat saham SCIB di bawah jualan singkat harian (IDSS) bermula 16 Jan hingga 18 Jan pada 8.30 pagi selepas saham itu jatuh lebih daripada 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan.

Pada rehat tengah hari semalam, kaunter itu merosot 30 sen kepada 53.5 sen, dengan 199.80 juta saham bertukar tangan.

-- BERNAMA