KUALA LUMPUR: Sebahagian laluan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) akan ditutup bermula 11 malam esok (12 Nov) berikutan penganjuran acara larian 'Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2022'.

Konsortium Lebuhraya Utara Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan laluan itu dijangka dibuka semula untuk kegunaan awam pada 11 pagi, Ahad (13 Nov).

Sehubungan itu, KESTURI menasihatkan orang ramai supaya menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan sebahagian laluan DUKE itu.

"Pihak penganjur akan menempatkan polis trafik di lokasi terlibat untuk tujuan pemantauan dan memastikan keselamatan orang awam," menurut kenyataan itu.

Laluan masuk dan lencongan lebuh raya yang akan ditutup sementara itu ialah:


  1. Susur masuk di Persimpangan Hillview ke DUKE bagi kedua-dua arah menghala Hulu Kelang-Ampang;

  2. Susur masuk dari Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persimpangan Hillview;

  3. Susur masuk di bulatan Jalan 37/56, Taman AU2 Keramat;

  4. Susur masuk selepas Kem Desa Tun Hussein Onn, Jalan Jelatek ke DUKE;

  5. Susur masuk melalui Jalan Semarak (Pusat Latihan Polis (Pulapol) dan Kementerian Pertahanan (Mindef);

  6. Susur masuk melalui Jalan Ayer Jerneh, Setapak;

  7. Susur masuk di persimpangan lampu isyarat Bandar Dalam ke DUKE;

  8. Laluan utama dari arah Greenwood/Karak akan dilencongkan ke persimpangan Bandar Dalam, Bandar Baru Sentul dan Jalan Gombak;

  9. Susur masuk melalui tanjakan Jalan Pahang bagi kedua-dua arah menghala Plaza Tol Sentul Pasar dan Plaza Tol Batu;

  10. Susur masuk tanjakan Tiara Titiwangsa;

  11. Susur masuk di tanjakan Sentul berhampiran Plaza Ong Tai Kim;

  12. Susur masuk ke DUKE Fasa 2 (Tun Razak Link) dari arah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Dagangan Dunia (WTC);

  13. Plaza Tol Sentul Pasar Tambahan dari arah Gombak menuju ke HKL atau pusat bandar;

  14. Susur masuk ke DUKE dari Kampung Puah dan Ekovest Berhad menghala ke Plaza Tol Batu;

  15. Susur keluar masuk Jalan Ipoh melalui DUKE.



-- BERNAMA