Skip to main content

Dunia

Perenang Britain renangi Selat Hormuz sorot kesan perang terhadap alam sekitar

Lewis Pugh, 56, yang merupakan Penaung Lautan PBB, menghabiskan masa tiga hari di laluan air itu minggu ini dengan berenang sejauh kira-kira 15 kilometer secara keseluruhan. - Instagram lewis.pugh
Lewis Pugh, 56, yang merupakan Penaung Lautan PBB, menghabiskan masa tiga hari di laluan air itu minggu ini dengan berenang sejauh kira-kira 15 kilometer secara keseluruhan. - Instagram lewis.pugh
Advertisement

LONDON: Perenang jarak jauh Britain Lewis Pugh berenang merentasi Selat Hormuz ketika serangan terhadap kapal tangki minyak berterusan bagi "menarik perhatian terhadap kesan buruk perang yang dahsyat terhadap alam sekitar".

Pugh, 56, yang merupakan Penaung Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menghabiskan masa tiga hari di laluan air itu minggu ini dengan berenang sejauh kira-kira 15 kilometer secara keseluruhan, lapor PA Media/dpa.

Selat Hormuz merupakan laluan air strategik bagi penghantaran minyak dari Asia Barat yang berulang kali ditutup akibat serangan sepanjang perang Iran.

Advertisement

Pugh yang dilahirkan di Plymouth berkata selat itu "jauh lebih daripada sekadar laluan perkapalan penting", sambil menyifatkannya sebagai "antara tempat paling indah" yang pernah dikunjunginya.

Beliau dipercayai individu pertama yang cuba melakukan renangan jarak jauh di selat itu sejak konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat (AS) bermula.

Advertisement

Dengan hanya memakai seluar renang, gogal dan topi renang yang tertera logo PBB, beliau memulakan renangan dari Semenanjung Musandam di hujung selatan selat itu dan menamatkannya selepas mengelilingi Tanjung Hormuz.

Aktivis alam sekitar marin itu berkata renangan berkenaan bertujuan "menarik perhatian terhadap kesan buruk perang yang dahsyat terhadap alam sekitar".

Dalam hantaran di laman webnya, Pugh berkata: "Perang menyebabkan penderitaan manusia yang amat besar. Nyawa terkorban, keluarga berpecah-belah dan rumah musnah. Namun, terdapat satu lagi mangsa yang kurang mendapat perhatian, iaitu alam semula jadi.

 

 

"Selat Hormuz jauh lebih daripada sekadar laluan perkapalan penting. Ia antara tempat paling indah yang pernah saya kunjungi. Terdapat gunung-ganang yang menjulang tinggi dan fiord yang menakjubkan, terumbu karang serta hutan bakau.

"Lumba-lumba, penyu dan dugong hidup di perairan ini. Ia merupakan antara keajaiban alam semula jadi yang terunggul di dunia."

Gambar yang dimuat naik Pugh di media sosial menunjukkan asap tebal berkepul-kepul daripada sebuah kapal tangki gas petroleum cecair (LPG) yang terbakar di Selat Hormuz, berhampiran Semenanjung Musandam di Oman.

Pugh berkata: "Hanya 30 minit selepas saya mula berenang, sebuah kapal tangki minyak terkena serangan beberapa kilometer dari lokasi saya.

"Letupan itu menggegarkan laut di sekeliling saya. Dalam beberapa hari berikutnya, saya menyaksikan lebih banyak serangan terhadap kapal dagang dan melihat kapal dijilat api.

"Kapal tangki minyak, kapal pengangkut gas dan kapal dagang lain diserang hari demi hari. Kesan perang ini terhadap alam sekitar akan berlarutan selama beberapa generasi.

"Mesej saya mudah: Hentikan pertempuran. Buka semula selat itu. Bersihkan pencemaran."

Pugh sebelum ini menjadi individu pertama yang melengkapkan renangan jarak jauh di setiap lautan dunia dan sering berenang di kawasan ekosistem yang terancam bagi menarik perhatian terhadap keadaan ekosistem berkenaan.

Awal bulan ini, Setiausaha Luar UK Ed Miliband menekankan keperluan untuk mengatasi kebuntuan konflik Iran yang berada dalam keadaan “tidak berperang tetapi belum mencapai keamanan”, yang menurutnya menyebabkan “kesengsaraan ekonomi yang mendalam”.

Miliband menggesa "usaha diplomatik secara menyeluruh" bagi menamatkan perang dan membuka semula sepenuhnya selat strategik itu, yang menurutnya amat penting.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement