Sebanyak 1,289 projek rumah terbengkalai dipulihkan sejak 2023 - KPKT

Nor Azman berkata sehingga 30 Sept 2025, secara keseluruhannya sejumlah 501,033 unit RMM disediakan di seluruh negara. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,289 projek perumahan swasta yang terbengkalai telah berjaya dipulihkan oleh pasukan petugas khas Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 2023 hingga September 2025.
Ringkasan AI
- KPKT berjaya pulihkan 1,289 projek perumahan swasta terbengkalai sejak 2023 hingga September 2025, melibatkan 154,659 unit kediaman dengan nilai pembangunan RM123.7 bilion.
- Kerajaan peruntukkan RM25.84 juta dalam Belanjawan 2026 untuk pemulihan projek terbengkalai, menunjukkan kesungguhan dalam menyelesaikan masalah pembeli rumah yang terkesan.
- KPKT sedang usahakan pindaan Akta 118 bagi meningkatkan kebajikan pembeli rumah, tadbir urus pemaju, dan ketelusan transaksi dalam sektor perumahan.
"Dalam hal ini, kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM25.84 juta khas dalam Belanjawan 2026 untuk pemulihan projek terbengkalai. Ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam usaha untuk menyelesaikan kesengsaraan pembeli-pembeli rumah yang terkesan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam tahunan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) di sini semalam.
Selain itu, Nor Azman berkata sehingga 30 Sept 2025, secara keseluruhannya sejumlah 501,033 unit rumah mampu milik (RMM) disediakan di seluruh negara meliputi rumah yang telah siap dan yang sedang berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan.
Pencapaian ini merupakan sesuatu yang belum pernah direkodkan dalam sejarah negara.
"KPKT sedang dalam tindakan untuk meminda Akta 118 agar selaras dengan perkembangan dan keperluan sektor perumahan masa kini.
"Pindaan akta ini akan lebih mengutamakan kebajikan pembeli rumah di samping memperkukuh tadbir urus pemaju, meningkatkan ketelusan transaksi dan memastikan setiap projek perumahan dilaksanakan dengan lebih bertanggungjawab serta berorientasikan perlindungan pengguna," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai sektor, beliau berkata secara keseluruhannya pasaran hartanah negara kekal berdaya tahan pada separuh pertama 2025 apabila aktiviti pembinaan terus mencatat pertumbuhan meskipun prestasi transaksi menunjukkan sedikit penyusutan.
Berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bagi separuh tahun pertama 2025, bilangan urus niaga hartanah merekodkan sebanyak 196,232 transaksi, susut 1.3 peratus.
Nilai transaksi, bagaimanapun, meningkat 1.9 peratus kepada RM107.68 bilion berbanding tempoh yang sama 2024.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


