KUALA LUMPUR: Kira-kira 18 peratus penduduk Malaysia akan memperoleh manfaat daripada vaksin Sinovac COVID-19 yang telah mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

"Pengiktirafan di peringkat global ini telah meningkatkan keyakinan kita kerana sebanyak 12 juta bekalan vaksin Sinovac akan memastikan bahawa 18 peratus penduduk kita mendapat manfaat daripada vaksin ini.

"Vaksin Sinovac kini telah mendapat kelulusan WHO. Ia selamat dan berkesan," katanya menerusi Twitter hari ini.

Semalam, Penolong Ketua Pengarah WHO bagi Akses Produk Kesihatan Dr Mariangela Simao berkata badan dunia itu, mengesahkan pengunaan vaksin Sinovac COVID-19 untuk kecemasan dengan memberi jaminan kepada negara, penyumbang dana, agensi pemerolehan, dan masyarakat mengenai jaminan bahawa vaksin berkenaan menepati standard antarabangsa dalam aspek keselamatan, keberkesanan dan pembuatan.

WHO, menerusi Penyenaraian Pengunaan Kecemasan (EUL), menetapkan mekanisme prasyarat untuk pembekal dan pemerolehan antarabangsa bagi Vaksin fasiliti COVAX, yang membenarkan sesebuah negara mempercepat kelulusan peraturan mereka sendiri untuk mengimport dan memberikan vaksin COVID-19.

Dalam ciapan Twitter berasingan, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menasihatkan wanita hamil dan ibu yang menyusukan bayi, bahawa mereka kini boleh mengemas kini status menerusi MySejahtera untuk penilaian vaksinasi.

"Anda boleh memasukkan bulan dan tahun kelahiran atau status penyusuan.

"Temu janji anda akan berdasarkan vaksin yang sesuai untuk anda di pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 tertentu," katanya.

-- BERNAMA