KOTA KINABALU: Sebanyak 78 daripada 589 menara baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah telah siap dibina oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat 30 September lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pembinaan menara berkenaan berjalan lancar seperti dirancang kerana telah mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri yang memberi kebenaran membina menara baharu di kawasan terlibat.

"Usaha MCMC membina menara ini berjalan lancar kerana mendapat kerjasama yang cukup baik... kita harap kerajaan negeri akan terus memberi kerjasama untuk kita dapat kebenaran membina menara seterusnya," katanya kepada pemberita mengenai perancangan JENDELA di Sabah di sini hari ini.

Selain itu, bagi memberi kemudahan liputan Internet di kawasan pedalaman di negeri itu, Zahidi berkata sebanyak 138 lokasi telah dikenal pasti untuk penyediaan perkhidmatan Very Small Aperture Terminal (VSAT).

Beliau berkata perkhidmatan VSAT itu akan mampu memberikan liputan jalur lebar yang sukar diakses di kawasan pedalaman dengan teknologi gentian optik dan mudah alih.

Katanya MCMC akan memastikan penduduk di pedalaman sentiasa mendapat maklumat dan berinformasi serta berharap agar penduduk kampung juga turut memberi kerjasama kepada MCMC.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 103,281 daripada 251,165 premis yang dirancang untuk dinaik taraf gentian optik telah siap dilaksanakan dan dijangka bertambah menjelang hujung tahun ini.

-- BERNAMA