Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan pembebasan seorang guru Bahasa Inggeris daripada pertuduhan menyebarkan gambar lucah kepada seorang gadis remaja tujuh tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohd Zawawi Salleh, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan lelaki berumur 38 tahun itu.

Hakim Mohd Zawawi yang mempengerusikan panel itu berkata keputusan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi dalam membebaskan C. Shanmuga adalah betul dan tiada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk mengganggu dapatan kedua-dua mahkamah itu.

Shanmuga didakwa menyebarkan beberapa gambar lucah kepada gadis terbabit yang ketika itu berusia 16 tahun menerusi telefon bimbitnya di Taman Garing Utama, Rawang, Selangor antara 21 dan 27 April 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 293 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 26 Jan 2015, Mahkamah Majistret Selayang melepaskan dan membebaskan Shanmuga di akhir kes pembelaan dan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan pembebasannya pada 16 Ogos tahun lepas.

Peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mewakili Shanmuga manakala Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail mewakili pendakwaan.

-- BERNAMA