Sebuah pusat rehabilitasi bakal dibina di Pulau Pinang - Steven Sim

Sim menyalakan lampu pelita sebagai simbolik perasmian Majlis Rumah Terbuka Deepavali DAP Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Sebuah pusat rehabilitasi akan dibina di Seberang Perai di sini bagi memperluas kemudahan rawatan dan pemulihan kepada pencarum yang mengalami kecederaan atau ketidakupayaan akibat kemalangan pekerjaan.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan bina pusat rehabilitasi PERKESO di Seberang Perai, menjadikannya pusat keempat selepas Melaka, Ipoh dan Terengganu, bagi rawatan dan pemulihan pencarum yang cedera akibat kemalangan kerja.
- Pembinaan masih di peringkat perincian melibatkan lokasi, keluasan, jenis rawatan dan kos, dengan pengumuman dijangka selepas rundingan bersama PERKESO dan agensi berkaitan.
- KESUMA turut rancang pusat rehabilitasi satelit di setiap negeri untuk memperluas akses rawatan, memandangkan kos pembinaan pusat penuh adalah tinggi.
"Seterusnya di Ipoh, Perak yang siap dibina dan akan beroperasi selepas dirasmikan manakala di Terengganu masih dalam pembinaan. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berasa kemudahan pusat rehabilitasi harus diperluas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali DAP Pulau Pinang dan turut hadir Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Penasihat DAP Lim Guan Eng.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata kadar pemulihan yang tinggi memberikan semangat baharu dan penting untuk memperluas pusat rehabilitasi kerana dianggap sebagai "melengkapi", kepada kemudahan perubatan sedia ada di bawah Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata pembinaan pusat berkenaan masih pada peringkat perincian melibatkan pemilihan lokasi, keluasan, jenis rawatan serta kos keseluruhan, yang dijangka diumumkan selepas rundingan dengan pihak PERKESO dan agensi berkaitan selesai.
Sementara itu, Sim berkata KESUMA juga merancang pembangunan berperingkat dengan menubuhkan pusat rehabilitasi satelit di setiap negeri sebagai langkah memberikan perkhidmatan dan rawatan kepada pencarum PERKESO.
PERKESO kini mempunyai empat pusat rehabilitasi satelit di Kuala Lumpur, Shah Alam di Selangor, Kuala Terengganu di Terengganu dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.
"Kos untuk pusat rehabilitasi sepenuhnya memang tinggi, jika kita tak berupaya bina pusat sepenuhnya sekurang-kurangnya akan ada kemudahan rehabilitasi pada setiap negeri," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


