SEDCO catat pencapaian kewangan tertinggi dalam tempoh 15 tahun di bawah pentadbiran James Wong

James (foto) berkata pencapaian itu hasil pelaksanaan pelbagai reformasi pengurusan, peningkatan tadbir urus serta pengukuhan kecekapan operasi di bawah kepimpinan baharu agensi itu. -Foto Astro AWANI
KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) mencatatkan pencapaian kewangan tertinggi dalam tempoh 15 tahun selepas menyalurkan dividen dan bayaran balik pinjaman berjumlah RM10 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah, tahun ini.
Ringkasan AI
- SEDCO mencatat pencapaian kewangan tertinggi dalam 15 tahun dengan bayaran RM10 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah hasil reformasi pengurusan dan kecekapan operasi di bawah kepimpinan Datuk James Wong.
- Pelbagai pembaharuan diperkenalkan termasuk penubuhan Unit PMPU, pemulihan projek terbengkalai, serta pengoptimuman aset dan perjanjian strategik seperti sub-sewaan tanah kepada Petronas.
- SEDCO kini menerajui projek berimpak tinggi seperti Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat dan bercadang membangunkan semula aset utama seperti Hotel Hyatt Regency serta hab logistik di Sepanggar.
"Kami telah bekerja keras sepanjang lapan bulan yang lalu dan semua pihak bekerjasama dengan saya untuk membantu mencipta serta menjana dividen yang besar buat negeri.
"Saya percaya dan berpandangan bahawa bagi kami yang berada dalam badan berkanun seperti SEDCO, sangat penting kepada kita fokus atau menjadikan objektif utama adalah untuk mencipta nilai dan memberikan dividen kepada negeri," katanya dalam temu bual khas bersama Astro AWANI di Wisma SEDCO, di sini, pada Isnin.
James, 38, yang merupakan arkitek berdaftar dengan pengalaman luas dalam sektor swasta, dilantik mengetuai badan berkanun itu oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, awal tahun ini.
Beliau juga merupakan Pengerusi Pemimpin Muda Perniagaan dan Industri Sabah (SYBIL), serta adik kepada Menteri Luar Australia, Senator Penny Wong.
Menurut James, pihaknya menyasarkan kenaikan dividen dan bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Negeri Sabah kepada RM20 juta pada 2026, dengan unjuran pertumbuhan berterusan yang besar dalam beberapa tahun akan datang.
Sejak menerajui SEDCO, James telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan termasuk penubuhan Unit Pengurusan Projek dan Perolehan (PMPU) bagi memperkukuh sistem tadbir urus dan perolehan mengikut garis panduan Kementerian Kewangan (MoF).
Langkah itu, jelas beliau, telah berjaya mengurangkan pembaziran, meningkatkan kecekapan operasi serta memantapkan integriti perolehan dalam kumpulan syarikat SEDCO.
"Dalam tempoh yang singkat, kami telah berjaya meningkatkan kecekapan operasi. Kami dapat menguruskan perbelanjaan dengan lebih bijak dan menjimatkan kos di beberapa bahagian.
"Selain itu, dari segi tender dan kontrak, kami memastikan penggunaan dana secara bijak, mengikut prosedur tender yang betul, dan mengurangkan pembaziran, sekali gus meningkatkan kecekapan secara menyeluruh.
"Kami juga menumpukan perhatian kepada "low-hanging fruits", iaitu peluang yang mudah dicapai tetapi mampu memberikan pertumbuhan ekonomi atau kewangan yang pantas dalam tempoh singkat.
"Ini merupakan salah satu fokus saya pada bulan-bulan awal selepas menyertai SEDCO pada awal tahun ini," tambah anak kelahiran Kota Kinabalu itu.
Di bawah kepimpinannya, sistem dan budaya pengurusan prestasi berpandukan petunjuk prestasi utama (KPI) turut diperkenalkan dalam organisasi dengan sistem ganjaran bonus insentif.
Fokus pelaburan strategik dan pengoptimuman aset
James menjelaskan SEDCO telah melaksanakan pelan pemulihan terhadap beberapa projek terbengkalai seperti di Asia City dan Lahad Datu, serta mengkaji semula perjanjian usaha sama bagi memastikan setiap aset milik negeri memberi pulangan optimum.
Selain itu, agensi itu sedang memuktamadkan beberapa perjanjian sub-sewaan dengan Petronas bagi tanah yang digunakan untuk laluan saluran paip gas, yang dijangka menjana hasil baharu kepada kerajaan negeri.
Dalam usaha menarik pelaburan ke Sabah, beliau berkata SEDCO menekankan kepentingan mempunyai pelan konkrit, dengan beberapa bidang sedang dibangunkan.
Antara projek berimpak tinggi yang sedang diterajui ialah Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat (KBEIP) seluas 1,200 ekar bagi pembangunan ekonomi biru sehingga ke peringkat hiliran.
"Kami sedang melancarkan pelan induk ini, dan dalam proses bekerjasama dengan pelbagai perunding, serta berinteraksi dengan banyak agensi dalam beberapa bulan akan datang.
"Kabinet (Kerajaan Negeri) telah meluluskan dan memberi mandat kepada SEDCO untuk membangunkan projek ini sebagai pelan induk menyalurkan produk ekonomi biru ke peringkat hiliran.
"Projek seluas 1,200 ekar tanah perindustrian milik SEDCO ini seiring dengan arah tuju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Negeri Sabah," kata James lagi.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan sedang meneliti pelbagai aset kerajaan negeri dan SEDCO, serta pihaknya bercadang untuk meneroka potensi pembangunan aset-aset terbabit secara strategik.
Ia termasuk pembangunan semula Hotel Hyatt Regency dengan matlamat menjadikannya pusat hospitaliti yang kukuh serta pusat membeli-belah, sekali gus memaksimumkan nilai aset berkenaan.
"Jadi, kami telah membuka banyak idea pembangunan dan potensi, yang akan dibentangkan kepada lembaga pengarah serta Kabinet untuk semakan dan kelulusan.
"Selain itu, terdapat projek pembangunan bernilai berbilion ringgit serta pendapatan negeri dalam proses untuk pembangunan bersama dan usaha sama.
"Contohnya, Sabah International Trade and Exhibition Centre, ini adalah idea-idea yang kami cuba realisasikan untuk negeri," katanya.
Selain itu, SEDCO bercadang membangunkan hab logistik dan pembuatan di Padu Wangsa, Sepanggar, dengan tapak berkenaan terletak berhampiran Pelabuhan Sepanggar.
Laporan penuh temu bual khas bersama James akan disiarkan dalam Program AWANI Sabah+, setiap Khamis dan Jumaat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


