Kerajaan diminta membentangkan mekanisme terbaik untuk melenyapkan kerisauan orang ramai terhadap isu kenaikan harga minyak masak.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ia dilihat penyelesai kepada kekalutan akibat pembelian panik.

Jelasnya, mekanisme subsidi selain kerjasama pengguna dan kerajaan menjadi platform utama untuk isu itu segera berakhir.

"Jadi kita harap mekanisme ini dapat melenyapkan kerisauan orang ramai, maknanya minyak akan sentisa ada.

"Contohnya hendak beli minyak kena ada kad pengenalan. Jika tidak, semua orang akan beli, kita tidak mahu kekurangan dan orang lain boleh beli dengan harga pasaran.

"Kita tidak mahu kekurangan kepada pengguna, orang lain boleh beli dengan harga pasaran. Kita hendak jaga rakyat supaya ada sistem yang tidak beri subsidi kepada orang lain," katanya semasa sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Salleh berkata, kementeriannya dalam peringkat mengenal pasti kaedah terbaik bagi melaksanakan mekanisme penetapan harga minyak masak.

Jelasnya, buat masa ini, Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011 boleh digunakan bagi mengawal harga minyak.

Dalam pada itu Nadzim turut menasihati orang ramai agar tidak membuat pembelian panik.

"Saya yakin minyak masak mencukupi, tidak perlu rakyat risau. Sebab itu kita mahu rakyat segera membuat aduan jika ada kenaikan harga, ia yang menyebabkan pembelian panik terjadi," jelasnya.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Mohd Roslan Mahayudin sebelum ini turut meminta orang ramai supaya tidak membuat pembelian panik terhadap produk minyak masak kerana bekalan bahan asas itu masih mencukupi.

Walau bagaimanapun tegasnya, sekiranya masih berlaku ketiadaan bekalan di tempat-tempat lain, pengguna perlu memaklumkan pihaaknya serta-merta agar keadaan tersebut dapat dipulihkan segera.

Harga minyak masak paket 1 kilogram kekal RM2.50 tetapi minyak masak dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November lepas.