Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mengeluarkan arahan sekatan kepada pihak media untuk tidak lagi berada di lobi Parlimen berkuat kuasa 12 tengah hari tadi.

Menerusi perintah yang dibuat di Kamar Speaker Dewan Rakyat, Pandikar berkata larangan bertujuan menjaga keselamatan Ahli Parlimen dan mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya telah mendapat maklum bahawa sewaktu sesi mesyuarat Dewan Rakyat sedang berlangsung, di ruang legar Dewan Rakyat terdapat kehadiran wakil media massa dalam jumlah yang ramai, berkumpul untuk mendapatkan ulasan daripada ahli-ahli Parlimen

"Keadaan ini telah menyebabkan sebahagian besar ahli-ahli Parlimen berasa amat kurang selesa, saya sendiri pun berasa kurang selesa...kerana saya nampak ada wakil media yang duduk di merata tempat seolah-olah ruang di sana adalah tempat piknik (bersantai)," katanya.

Media diminta meninggalkan ruang lobi Parlimen. - Astro AWANI/Harits Asyraf Hasnan

Lantas, beliau meminta mana-mana Ahli Parlimen mahupun Menteri untuk mengadakan sidang media di tempat yang disediakan.

"Kita (Ahli Parlimen) bekerja kuat, jadi kita biar media pula bekerja kuat. Sekiranya Ahli Parlimen mahu mengadakan sidang media, mereka boleh ke bilik media disediakan Dewan Rakyat.

"Saya tidak lihat sidang Parlimen lain di negara lain membenarkan petugas media berlegar di ruang hadapan dewan," katanya.

Sejurus Pandikar mengeluarkan arahan tersebut di dalam Dewan Rakyat, polis bantuan Parlimen segera mengusir media yang berkumpul di lobi Parlimen.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfudz Omar turut bangun mencelah dan menyifatkan ruangan sidang media yang disediakan pada ketika ini tidak strategik dan praktikal.

Justeru, mereka berharap Pandikar dapat membuat pertimbangan sewajarnya terhadap perintah tersebut yang dibuat menerusi Peraturan Mesyuarat 94 Dewan Rakyat.