KUALA LUMPUR:Satu platform yang lebih adil bagi Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berunding perlu diwujudkan bagi menangani dakwaan serta tuduhan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara termasuk berkaitan isu sekatan produk sawit negara ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata,  FGV Holdings Bhd (FGV) misalnya telah menunjukkan komitmen yang tinggi serta mengambil langkah perlu menerusi penghantaran petisyen untuk pembatalan Perintah Pelepasan Tahan (WRO) terhadap minyak sawit dan produk sawit keluarannya.

FGV juga katanya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hak asasi manusia.

"Tidak dinafikan, AS merupakan pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara. Bagi tempoh Januari-Ogos 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM14.10 bilion.

"Walau bagaimanapun dengan insiden yang semakin kerap berlaku, KPPK bersedia untuk mempertimbang tindakan yang sewajarnya bagi menangani isu tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: FGV perlu segera lantik juruaudit bebas dan boleh dipercayai

Kementeriannya juga menyarankan agar pihak industri sawit termasuk FGV untuk terus meneroka pasaran baharu mengambil kira situasi pandemik COVID-19 masa kini dengan memfokuskan eksport sawit ke negara-negara lain yang berpotensi di benua Afrika seperti Nigeria, Asia Tengah dan sebagainya.

"Di samping itu, bagi mengukuhkan lagi komitmen kerajaan, tiada lagi pengambilan baharu pekerja asing akan dilaksanakan pada masa ini.

"Oleh yang demikian, isu buruh paksa yang dibangkitkan dan dilaporkan oleh Jabatan Buruh (AS) DOL merupakan isu lama dan telah pun diambil tindakan oleh pihak industri," tambahnya lagi.

Ujarnya, kementeriannya dengan kerjasama agensi berkaitan sentiasa memberi perhatian mengenai pembangunan industri sawit negara dan mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi demi menjamin kemakmuran sejagat dan kemaslahatan bersama.

Pada 30 September Amerika Syarikat melalui Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) mengharamkan import minyak dan produk sawit dari FGV susulan siasatan badan itu yang mendakwa berlaku amalan buruh paksa.