BERIKUT kenyataan media Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berhubung lawatannya ke New Zealand susulan insiden serangan pengganas yang turut membabitkan rakyat Malaysia pada Jumaat lepas.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa pada kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempat menghadiri solat Jumaat di Hagley Park South, Christchurch, New Zealand bersama masyarakat Muslim di sana.

Ketika di Hagley Park, beliau sempat menyaksikan beberapa kaum wanita membuat tarian haka, salah satu daripada tarian tradisional dari suku Maori di New Zealand ketika perdana menterinya, Jacinda Ardern tiba di padang tersebut.

Jacinda Ardern tiba dengan mengenakan pakaian berwarna gelap bersama selendang di kepalanya.

Ketika di Hagley Park beliau juga sempat bertemu beberapa duta daripada negara-negara lain seperti Turki, Pakistan dan Indonesia serta beramah-mesra bersama pelajar yang melanjutkan pelajaran di Christchurch, New Zealand.

Selepas solat Jumaat, YB Menteri kemudian ke Hospital Christchurch bagi menziarahi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa insiden serangan pengganas iaitu saudara Mohd Tarmizi Shuib, Mohd Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

YB Menteri turut menyerahkan sumbangan daripada rakyat Malaysia kepada mereka.

Beliau juga sempat bertemu dengan keluarga mangsa serta rakyat Malaysia yang tinggal di sana yang telah banyak membantu urusan mangsa selepas insiden berkenaan.

Untuk makluman, YB Menteri kini dalam perjalanan pulang selepas selesai urusan beliau di sana.

Insya-Allah sejurus tiba di tanah air pada subuh nanti beliau akan terus menyertai himpunan Solidariti Kedamaian 2019.

PEJABAT MENTERI DI JABATAN MENTERI
22 MAC 2019