Ringkasan AI
- Penutupan sekolah di Perak pada Isnin akan diputuskan berdasarkan bacaan IPU pada Ahad demi keselamatan murid.
- 362 sekolah di tiga daerah telah ditutup selepas bacaan IPU di Tasek Ipoh mencecah 180, dengan PdPR akan dilaksanakan jika penutupan berterusan.
- Dua kes buli dan dakwaan kekasaran guru di Perak kini dalam siasatan polis, dengan tindakan lanjut akan diambil mengikut prosedur.
IPOH: Sekolah di Perak berkemungkinan ditutup lagi pada Isnin ini sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di daerah tertentu kekal pada tahap tidak sihat berdasarkan pemantauan yang akan dilakukan esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata keputusan mengenai status persekolahan akan dibuat berdasarkan bacaan IPU pada Ahad bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid.
Beliau berkata sebanyak 362 sekolah di tiga daerah ditutup serta-merta semalam selepas bacaan IPU di stesen pemantauan Tasek Ipoh mencecah 180 pada 11 pagi.
“Jadi pengumuman akan dibuat pada pukul 2 atau 3 petang Ahad, bergantung kepada bacaan IPU yang direkodkan pada esok,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad merasmikan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, di sini hari ini.
Khairudin berkata proses pengajaran dan pembelajaran akan diteruskan menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya sekolah ditutup.
Dalam perkembangan lain, beliau menyambut baik langkah kerajaan Persekutuan meluluskan sebuah sekolah baharu di Perak, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chemor, menerusi Belanjawan 2027.
“Saya mengalu-alukan kelulusan sekolah baharu itu memandangkan sekolah sedia ada di Chemor berdepan isu kepadatan murid selain keadaan fizikal yang uzur.
“Saya juga melihat peruntukan Belanjawan 2027 bagi portfolio pendidikan, belia dan sukan serta pengajian tinggi sebagai sesuatu yang baik untuk menyokong pembangunan modal insan dan memastikan proses pembelajaran berjalan lancar,” katanya
Mengulas mengenai dakwaan kes buli dua pelajar yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Chemor baru-baru ini, beliau berkata perkara itu kini dalam siasatan polis selepas beberapa laporan dibuat, termasuk oleh guru yang berkenaan.
“Pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak telah melaksanakan proses berkaitan, termasuk mengadakan permuafakatan antara pihak sekolah, PPD dan ibu bapa atau penjaga murid yang terlibat.
“Kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berdasarkan dakwaan yang dikemukakan. Bagaimanapun, proses pelaporan di bawah Peraturan 137 Kementerian Pendidikan (KPM) telah dilaksanakan oleh pihak sekolah,” katanya.
Khairudin berkata laporan polis terbaharu dibuat pada Oktober walaupun kejadian itu berlaku pada Julai, manakala proses permuafakatan di peringkat pendidikan telah dilaksanakan bagi mencari penyelesaian.
Sementara itu, beliau berkata bagi kes melibatkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang didakwa dikasari oleh seorang guru di sebuah sekolah di Pengkalan Hulu turut diserahkan kepada polis selepas laporan dibuat oleh pihak berkaitan.
Pihak sekolah telah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan dan kesihatan murid, manakala PPD berkenaan turut mengadakan perbincangan serta permuafakatan bagi menangani isu itu.
“Apabila laporan polis telah dibuat, perkara itu diserahkan kepada polis untuk siasatan dan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran, pihak polis akan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.
-- BERNAMA