KUALA LUMPUR: Faktor kemiskinan dikenal pasti sebagai antara punca utama yang mempengaruhi keciciran persekolahan, kata Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali.

Selain kemiskinan, Pkharuddin berkata, faktor jarak antara tempat tinggal dan sekolah juga menyebabkan ramai murid yang tercicir persekolahan.

Bagi mengatasi masalah tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia menubuhkan Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11.

"Sekolah Model Khas Komprehensif K9 ini merujuk kepada sembilan tahun persekolahan di sekolah rendah dan menengah rendah.

"Maksudnya murid akan berada di sekolah rendah selama 6 tahun dan menengah rendah 3 tahun di sekolah yang sama.

"Manakala Sekolah Model Khas Komprehensif K11 pula akses pendidikan yang lebih menyeluruh pada peringkat rendah hingga menengah selama 11 tahun, iaitu daripada Tahun 1 hingga Tingkatan 5," katanya dalam program Agenda AWANI yang membincangkan isu keciciran murid.

Beliau menjelaskan, disebabkan kemiskinan dan jarak yang jauh, ramai murid yang tidak menyambung pelajaran selepas tamat sekolah rendah.

Katanya, KPM mengambil langkah menyediakan sekolah rendah dan menengah rendah atau K9 di sekolah yang sama.

"Perkara yang sama dilakukan bagi K11 dimana murid-murid menghabiskan sekolah rendah dan menengah hingga Tingkatan 5 di sekolah yang sama.

"Tidak timbul lagi isu ibu bapa tidak dapat menghantar anak ke sekolah atas faktor jarak yang jauh dan memerlukan tambang atau perbelanjaan yang tinggi.

"Ini adalah usaha kerajaan bagi memastikan semua anak-anak tidak kira di bandar atau pedalaman mendapat pendidikan yang sewajarnya," katanya lagi.

Pkharuddin berkata, peluasan program Sekolah Model Khas Komprehensif K9 dan K11 adalah menepati hasrat Teras Nadi Keunggulan KPM dengan memberi perhatian terhadap isu keciciran pendidikan dan kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40.

Disamping itu, beliau menjelaskan, peluasan Sekolah K9 dan K11 adalah selari dengan matlamat Sustainable Development Goal (SDG) 4.0, iaitu menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat, memastikan akses yang sama pada semua peringkat pendidikan dan latihan vokasional untuk golongan minoriti, termasuk orang kurang upaya, Orang Asli serta kanakkanak menjelang tahun 2030.

Katanya, peluasan Sekolah K9 dan K11 merupakan komitmen KPM dalam memastikan kanak-kanak yang tinggal di pinggir bandar, pedalaman dan pulau mendapat akses pendidikan serta mengurangkan kadar keciciran.