IPOH: Pengurusan sekolah yang berhasrat menganjurkan majlis graduasi murid di hotel perlu mengadakan perbincangan dengan pihak ibu bapa bagi mendapatkan persetujuan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata walaupun pihak sekolah mempunyai autonomi untuk menganjurkan sebarang majlis namun persetujuan ibu bapa perlu dititikberatkan.

"Secara dasarnya, kerajaan negeri tidak menghalang cumanya apabila melibatkan kutipan bayaran ini kita kena ambil kira supaya tidak timbul rungutan serta rasa kurang senang ibu bapa kerana perlu keluarkan belanja besar.

"Itu sebab perlu perbincangan antara pihak sekolah dengan ibu bapa atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan majlis itu bersesuaian mengikut kemampuan ibu bapa serta dipersetujui secara bersama," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Pengiraan Detik Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) Kali ke-64 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat dekat sini yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Perak Datuk Mohamad Fauzi Mahson.

Khairudin berkata pekeliling berkaitan penganjuran majlis graduasi di luar sekolah yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada Disember lepas adalah terpakai di semua sekolah.

"Selain persetujuan, jelas dinyatakan penglibatan murid adalah secara sukarela dan tiada paksaan selain penyertaan murid B40 akan menggunakan sumber kewangan PIBG atau pihak luar.

"Perak sentiasa ikut apa yang telah ditetapkan oleh KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah mengedarkan surat iringan kepada semua pentadbir sekolah pada 20 Dis lepas, jadi semua kena ikut, maknanya setiap sekolah telah terima dan patut memahami prosedur berkenaan," katanya.

Terdahulu, media melaporkan rungutan ibu bapa mengenai penganjuran majlis graduasi murid oleh pihak sekolah di hotel dan restoran mewah mencecah ratusan ringgit yang dianggap membebankan mereka.

Beliau turut meminta ibu bapa agar tidak panik dengan tahap keselamatan anak-anak di sekolah susulan kes seorang pengawal keselamatan ditahan kerana mencabul murid perempuan tahun satu di Teluk Intan.

"Pihak polis telah mengambil tindakan lanjut berkenaan kes itu selain pengurusan sekolah telah meningkatkan aspek keselamatan agar kejadian sama tidak berulang.

"Keselamatan dan keselesaan murid adalah indeks prestasi utama setiap sekolah di negeri ini dan kita turut mengharapkan kerjasama ibu bapa dalam memastikan keselamatan murid di sekolah," katanya.

-- BERNAMA