Mana-mana sekolah yang mempunyai lebih 40 orang pekerja harus menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP), yang terdiri daripada wakil sekolah dan pengurusan, untuk membincangkan semua aspek keselamatan di tempat kerja.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata banyak pihak masih tidak menyedari bahawa sekolah dan institusi pendidikan juga dianggap sebagai tempat kerja di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

"Menjadi kewajipan bagi mereka untuk menubuhkan Jawatankuasa KKP jika mereka mempunyai 40 pekerja atau lebih di premis mereka," katanya selepas merasmikan program KKP di Sekolah di Sekolah Visi Tawau, di sini hari ini.

Di bawah OSHA 1994, majikan harus membentuk Jawatankuasa KKP apabila terdapat 40 atau lebih pekerja di tempat kerja atau apabila diarahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Fungsi Jawatankuasa KKP adalah untuk mengkaji prosedur keselamatan dan kesihatan di tempat kerja; menyiasat apa-apa aduan atau perkara berkaitan dan mengadakan perbincangan secara tetap dengan majikan mengenai isu-isu berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja

Di bawah Seksyen 30 (4) OSHA 1994, majikan boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara maksimum 6 bulan atau kedua-duanya sekiranya gagal menubuhkan Jawatankuasa KKP.

Lee turut menggesa pihak sekolah supaya melaksanakan sistem pengurusan KKP yang baik dengan mengamalkan konsep pengenalan bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

Beliau berkata kebakaran dua blok Sekolah Kebangsaan (SK) Sentosa, Tawau pada 23 Feb menunjukkan aspek keselamatan di sekolah perlu ditingkatkan.

BACA: Dua blok kayu SK Sentosa musnah terbakar

Dalam kejadian itu, blok kayu sekolah yang menempatkan pejabat sekolah, bilik guru, dewan mini dan beberapa bilik darjah dari Tahun Satu hingga Tiga Tahun telah musnah.

"Walaupun tidak ada kecederaan atau kematian, kita perlu sentiasa ingat bahawa kemalangan di sekolah juga boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian.

"Insiden di mana seorang pelajar Tingkatan 2 di Gemas meninggal dunia apabila terkena bilah pisau mesin pemotong rumput adalah satu contoh yang jelas, "katanya sambil menambah bahawa ia adalah kematian yang dapat dicegah jika pihak bertanggungjawab mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya.

BACA: Pelajar 14 tahun maut terkena pisau pemotong rumput

BACA: 'Bunyi kuat macam roket', mangsa imbas kejadian 'bilah terbang'

Beliau berkata pihak berkuasa berkaitan, terutama Jabatan Kerja Raya, harus bekerjasama dengan pentadbiran sekolah untuk melakukan audit keselamatan yang menyeluruh di semua sekolah di seluruh negara.

"Adalah lebih baik jika audit keselamatan dapat dijalankan setiap lima tahun di sekolah baru sementara yang lama mesti mempunyai audit keselamatan tahunan," katanya.

Lee berkata NIOSH akan meneruskan usahanya untuk membantu mewujudkan kesedaran di bawah program KKP di Sekolah dengan sokongan penuh para guru, kakitangan lain, pelajar dan sektor swasta.

"Dengan sokongan pihak swasta seperti Kumpulan Hap Seng, kita dapat membantu generasi muda memahami dan mengamalkan budaya kerja selamat dan sihat," katanya.

Beliau berkata lebih banyak syarikat harus mencontohi Kumpulan Hap Seng yang amat prihatin mengenai kepentingan budaya KKP yang baik di tempat kerja, termasuk sekolah.