KUALA LUMPUR: Kewangan Islam, industri makanan-farmaseutikal-kosmetik halal, pelancongan mesra Muslim, sektor media dan rekreasi dijangka mencapai nilai global sebanyak US$7.7 trilion (RM35.7 trilion) menjelang 2025, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Malaysia telah mengekalkan status kepimpinan globalnya dalam sektor itu selama sembilan tahun berturut-turut seperti yang diiktiraf oleh Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI).

"Pencapaian Malaysia dalam bidang ekonomi digital ternyata bukan secara tidak sengaja tetapi dirangka dengan teliti.

"Bagaimanapun, yang paling penting, ia dapat dicapai dengan kerjasama anda dan malam ini, kami meraikan dan mengiktiraf kerja keras dan dedikasi anda," katanya pada MDX 2023 Awards Night di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) malam tadi.

Beliau juga berkata Malaysia berhasrat untuk menjadi peneraju global dalam inovasi dan teknologi.

"Kita perlu terus berusaha untuk menerima dan mengguna pakai teknologi baharu yang memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata revolusi digital telah membentuk semula cara hidup, bekerja dan berinteraksi antara satu sama lain.

"Ia mempunyai kuasa untuk mentransformasikan industri, mewujudkan peluang baharu dan merapatkan jurang digital," katanya.

Beliau berkata dengan semangat inilah Malaysia mengiktiraf dan meraikan individu dan organisasi yang cemerlang yang telah memainkan peranan penting dalam perjalanan transformasi digital Malaysia.

-- BERNAMA