Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kontraktor Bumiputera mesti keluar daripada kepompong keselesaan dan melaksanakan transformasi selaras dengan cabaran masa kini.

Katanya usaha transformasi itu perlu berdasarkan empat strategi iaitu yang pertama meningkatkan kandungan pengetahuan melalui kualiti modal insan dan pengukuhan pembangunan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kontraktor Bumiputera.

Strategi kedua, kata beliau ialah kontraktor Bumiputera perlu memacu produktiviti melalui peningkatan penggunaan teknologi dan pemodenan kaedah pembinaan, dan tidak boleh terlalu bergantung kepada buruh asing.

"(Ketiga) kita mahu melihat bagaimana kita boleh mengaplikasikan teknologi moden, memupuk amalan lestari dan (keempat) meningkatkan amalan pengantarabangsaan supaya sektor ini menjadi sebuah sektor yang boleh memberi pulangan nilai eksport kita," katanya pada jamuan malam Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia di sini, Sabtu malam.

Beliau berkata kejayaan-kejayaan kontraktor Bumiputera di luar negara seperti di Abu Dhabi dan Qatar juga membuktikan bahawa tiada sebab mereka tidak dapat menembusi pasaran antarabangsa sekiranya mereka menyusun strategi syarikat, memperkukuh jaringan dan merebut peluang perniagaan yang ada sama ada
di dalam atau di luar negara.

"Kita juga boleh berjaya seperti syarikat Bumiputera lain yang mempunyai sebahagian daripada pendapatan mereka di luar negara," katanya.

Najib berkata menerusi strategi berkenaan, kerajaan menjangkakan bahawa dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11, sektor pembinaan akan dapat berkembang pada kadar 10.3 peratus setahun.

Katanya sektor itu dijangka menyumbang RM327 bilion atau 5.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2020.

Beliau berkata dalam tempoh 2011 hingga 2014, lebih daripada 29,000 projek pembinaan bernilai RM470 bilion diluluskan.

Daripada jumlah itu, hanya RM83 bilion atau 18 peratus adalah daripada pihak kerajaan manakala selebihnya, iaitu RM387 bilion atau 82 peratus merupakan projek-projek sektor swasta.

Perdana Menteri berkata statistik ini menunjukkan bahawa untuk kontraktor-kontraktor Bumiputera meluaskan perniagaan mereka, adalah kritikal bagi mereka berusaha mendapatkan kontrak daripada pihak swasta.

"Sesungguhnya, untuk mendapatkan bisnes daripada pihak swasta memerlukan tahap daya saing yang lebih tinggi dan juga peningkatan dalam teknologi dan kepakaran.

"Saya percaya kontraktor-kontraktor Bumiputera mampu berdaya saing di dalam pasaran terbuka. Malah, jika mereka bergabung dengan tujuan untuk menubuhkan sebuah syarikat pembinaan lebih besar, saya yakin kontraktor Bumiputera boleh mencapai kejayaan yang amat cemerlang,” kata beliau.

Katanya dalam usaha memperkasa kontraktor Bumiputera, kerajaan juga kini mengamalkan dasar program 'Carve-Out and Compete' yang mana lebih kurang 45 peratus projek-projek mega yang dilaksanakan akan dikhaskan kepada syarikat kontraktor Bumiputera.