KUCHING: Pilihan Raya Negeri  ke-12 (PRN-12) bukan fokus utama Kerajaan Negeri Sarawak ketika ini, sebaliknya usaha menyelamatkan nyawa rakyat negeri itu daripada COVID-19 adalah lebih penting.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata negara kini dalam tempoh perintah darurat dan PRN akan hanya diadakan selepas tempoh itu.

“Kita masih lagi dalam tempoh darurat.

“Pilihan raya boleh dilakukan bila-bila masa namun nyawa hanya sekali.” tegasnya semasa sidang media Majlis Pelancaran Program Imunisasi Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak di Stadium Perpaduan, Kuching hari ini.

Katanya, kerajaan negeri ketika ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesihatan rakyat Sarawak dalam memerangi wabak pandemik COVID-19.

Untuk rekod, tempoh matang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan tamat pada 6 Jun 2021 dan PRN ke-12 harus diadakan dalam masa 2 bulan selepas itu.

Namun pengisytiharan darurat negara berkuatkuasa sehingga 1 Ogos 2021 tidak membenarkan sebarang pilihan raya diadakan.

Sementara itu bagi memastikan kesihatan rakyat sentiasa terpelihara, RM72 juta telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri sejak pandemik COVID-19 melanda negeri itu tahun lalu.

“Kami hanya memikirkan perihal kesihatan rakyat ketika ini terutamanya melibatkan kuarantin yang memerlukas kos pembayaran hotel pusat kuarantin dan semuanya dibayar oleh Kerajaan Negeri.

“Duit boleh kita cari namun nyawa rakyat tidak dapat diganti. Jadi kita bekerja berlandaskan prinsip itu.” kata Abang Jo.