Skip to main content

Malaysia

Selami warisan Islam menerusi program Hari Terbuka Masjid 2026

[TB]_Mosque Day_ITC
Hari Terbuka Masjid (MOD) 2026 mengetengahkan peranan masjid sebagai pusat komuniti yang menghubungkan masyarakat melalui warisan, budaya, seni bina dan nilai sejagat. - Foto ITC
Advertisement

KUALA LUMPUR: Orang ramai daripada pelbagai agama, kaum dan latar belakang dijemput mengunjungi masjid-masjid terpilih di seluruh negara sepanjang September ini menerusi program Hari Terbuka Masjid (MOD) 2026.

Program anjuran Pusat Pelancongan Islam (ITC) dengan kerjasama beberapa masjid di Malaysia itu merupakan sebahagian daripada pengisian Islamic Tourism Month (ITM) 2026 yang bertujuan memperkenalkan masjid sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti.

Inisiatif berkenaan turut menyokong usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pelancongan mesra Muslim.

Selain berfungsi sebagai tempat ibadah, MOD 2026 mengetengahkan peranan masjid sebagai pusat komuniti yang menghubungkan masyarakat melalui warisan, budaya, seni bina dan nilai sejagat.

Image
[INSERT]_Mosque Day 1_ITC
Masjid Sri Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan - Foto Kredit ITC

Program itu mengalu-alukan kehadiran pengunjung tempatan dan antarabangsa tanpa mengira latar belakang agama atau budaya, sejajar dengan komitmen Malaysia dalam mempromosikan pelancongan mesra Muslim yang inklusif.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang program termasuk lawatan berpandu, sesi perkongsian ilmu, aktiviti kemasyarakatan, program berbasikal, pertandingan mewarna dan memasak serta acara e-sukan untuk golongan belia.

Image
[INSERT]_Mosque Day 2_ITC
Masjid Al-Falah, USJ 9, Subang Jaya, Selangor - Foto Kredit ITC

Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan, berkata Mosque Open Day bukan sekadar lawatan ke masjid, sebaliknya menjadi platform untuk memupuk persefahaman antara budaya dan memperkenalkan keunikan warisan Islam Malaysia.

“Melalui Mosque Open Day, kami mahu menggalakkan orang ramai melihat masjid bukan sekadar sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai ruang yang mencerminkan sejarah, seni bina, budaya dan kehidupan komuniti Malaysia.

“Program ini memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali Islam serta nilai-nilai universal seperti hormat-menghormati, keramahan dan keharmonian dalam suasana yang terbuka dan inklusif,” katanya.

Menurut beliau, inisiatif itu turut menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 dan agenda Malaysia MADANI, selain membuka peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta penggiat industri pelancongan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

Jadual Hari Terbuka Masjid (MOD) 2026:

1. Masjid Seberang Takir, Terengganu (10 hingga 12 September)

2. Masjid Al-Falah USJ 9, Selangor (12 September)

3. Masjid Sultan Idris Shah II, Perak (13 September)

4. Masjid Muhammadi, Kelantan (18 September)

5. Masjid Muhammadiah atau Masjid Cina Ipoh, Perak (26 September)
 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program berkenaan menerusi laman sesawang rasmi www.itm.itc.gov.my

 

 

Must Watch Video

Advertisement