PETALING JAYA: Jaringan lewat permainan pemain pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar memastikan Selangor meraih kemenangan di laman sendiri selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi.

Selangor mendominasi permainan dan mempunyai peluang meledak jaringan awal menerusi penyerang Ayron Rodriguez, namun dua percubaannya dari jarak dekat masing-masing pada minit ketiga dan ke-10 serta tandukan pada minit ke-16 gagal menewaskan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman di gawang.

Pasukan tuan rumah terus menguasai permainan biarpun dicabar hebat skuad bimbingan K. Devan, sebelum akhirnya ketinggalan pada penghujung separuh masa pertama menerusi penalti Herold Goulon selepas Anselmo Arruda Da Silva dijatuhkan Richmond Tetteh Ankrah.

Gergasi Merah bangkit menyamakan kedudukan hasil gol Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-56 selepas menyambut kemas hantaran jauh cantik Quentin Cheng sebelum tenang menolak bola ke gawang, menewaskan Sikh Izhan, sekali gus meraih gol kedua dalam dua perlawanan berturut-turut.

Selangor terlepas peluang keemasan untuk mendahului perlawanan menerusi satu gerakan serangan balas pantas, namun percubaan pemain gantian, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, sekadar menggegar palang pada minit ke-64.

Gol kemenangan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe hadir pada masa kecederaan babak kedua selepas Sharul Nazeem menanduk hantaran sepakan percuma Yohandry Orozo sekali gus membantu pasukan meraih kemenangan kelima selepas tujuh perlawanan untuk naik ke tangga kedua dengan mengumpul 16 mata.

Sementara itu, juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut selepas membelasah Perak 5-0 di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi, sekali gus menyaksikan pasukan tuan rumah meraih kekalahan ketiga berturut-turut.

Harimau Selatan selesa mendahului 3-0 di separuh masa pertama selepas pemain tuan rumah, Hasnul Zaim Zafri tertampan bola ke gawang sendiri seawal minit kelima diikuti penalti Leandro Velazquez pada minit ke-25 dan penyudah Diogo Luis Santos di penghujung 45 minit pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, anak buah Esteban Solari terus mengganas apabila mencetak dua gol masing-masing menerusi Bergson Da Silva pada minit ke-66 dan Velazquez yang menjaringkan gol kedua peribadi hasil sepakan percuma pada masa kecederaan babak kedua.

JDT kekal di puncak liga dengan 21 mata manakala Perak ditangga ke-10 dengan lima mata.

Pemain JDT, Arif Aiman Mohd Hanapi (tiga, kanan) melepaskan rembatan ke gawang gol lawan ketika bertemu pasukan Perak Fc dalam saingan Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Perak malam tadi. --fotoBERNAMA

Dalam pada itu, Terengganu FC turut merakam kemenangan besar di laman sendiri selepas menumpaskan Kelantan FC, 5-0, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Pasukan tuan rumah mendahului 2-0 pada babak pertama hasil penyudah Jordan Mintah pada minit ke-15 sebelum Adisak Kraisorn meledak gol kedua enam minit kemudian.

Skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner kemudian meledak tiga gol di babak kedua masing-masing menerusi gol Ivan Mamut pada minit ke-66 dan penaltinya pada masa kecederaan babak kedua serta jaringan pemain gantian, Hakimi Abdullah, untuk melengkapkan kemenangan bergaya 5-0.

Terengganu kini menduduki tangga keenam dengan 10 mata manakala Kelantan FC, yang merehatkan pengendalinya, Choi Moon Sik, kira-kira 30 minit sebelum perlawanan, kini kekal tercorot dengan satu mata tanpa sebarang kemenangan selepas enam perlawanan.

-- BERNAMA