SEPANG: Kerajaan Selangor telah mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam agar sektor ekonomi yang benar-benar perlu sahaja dibuka sehingga tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Dengan mengambil kira kes harian COVID-19 yang semakin meningkat di Selangor, beliau berkata syor yang turut dikemukakan kepada MKN antaranya mengekalkan penutupan sektor ekonomi dan industri yang telah ditetapkan sehingga tamat PKPD.

PKPD di Selangor melibatkan 34 mukim di lapan daerah iaitu daerah Petaling; Hulu Langat; Sepang; Gombak; Kuala Langat; Klang; Kuala Selangor dan Hulu Selangor bermula 3 hingga 16 Julai ini.

Amirudin berkata, pelaksanaan PKPD di Selangor adalah satu daripada langkah drastik diambil kerajaan negeri untuk menghentikan penularan COVID-19 selain mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyatnya.

Beliau berkata angka kes harian COVID-19 di Selangor melonjak kepada 4,400 hari ini pada hari ketujuh pelaksanaan PKPD berbanding 4,152 kes semalam adalah hasil aktiviti pengesanan kontak rapat dan saringan kesihatan khususnya ke atas individu yang bergejala.

Menurutnya, Selangor dijangka beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Ogos atau September selepas memenuhi nilai ambang yang ditetapkan kerajaan bagi peralihan fasa tersebut.

Beliau berkata kadar vaksinasi di Selangor mampu mencecah 10 peratus dalam tempoh seminggu ini namun angka kes di negeri itu masih tinggi dan sistem kesihatannya terkesan dengan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU).

Amirudin turut meninjau proses suntikan vaksin COVID-19 kepada lebih 1,000 penduduk dewasa di Taman Murni yang diadakan dua hari bermula hari ini. PKPD di kawasan itu melibatkan kira-kira 1,600 penduduk.

-- BERNAMA