MALAYSIA
Selangor kenal pasti 1,699 hektar tanah untuk pembangunan pelabuhan ketiga - MB

Amirudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PKNS dan Yayasan Selangor di sini hari ini. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor telah mengenal pasti 1,699.68 hektar (4,200 ekar) tanah untuk dibangunkan sebagai pelabuhan ketiga di Pulau Carey, Kuala Langat.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor mengenal pasti 1,699.68 hektar tanah di Pulau Carey untuk pembangunan pelabuhan ketiga, melibatkan tanah milik PKNS dan Yayasan Selangor.
- Pelabuhan ini dijangka menjadi pemangkin pembangunan negeri, dengan PKNS sebagai wakil kerajaan negeri dalam pemilikan dan operasi, serta memberi manfaat jangka panjang kepada ekonomi dan pendidikan negeri.
- MoU antara PKNS dan Yayasan Selangor dimeterai bagi merancang pembangunan mampan dan berdaya saing, termasuk penilaian model perniagaan dan terma pembangunan fasa seterusnya.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan terlibat secara aktif dalam pembangunan ini dan juga dalam proses mengurus kemajuan Pelabuhan Pulau Carey yang kita lihat sebagai salah satu pemangkin baharu kepada pembangunan negeri Selangor dalam tempoh terdekat hingga 20 atau 30 tahun mendatang.
"Ini juga akan memberikan hasil berpanjangan kepada negeri malah satu potensi baharu kepada PKNS sebagai unit pembangunan ekonomi negeri dan juga mengukuhkan kedudukan Yayasan Selangor menyambung tugas membiayai pendidikan dan institusi pendidikan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara PKNS dan Yayasan Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata PKNS juga akan menjadi wakil kerajaan negeri untuk memegang syer dan hak milik kepada pelabuhan yang akan dibina itu.
"Beza Pelabuhan ketiga ini dengan Pelabuhan Klang kita mempunyai penyertaan dan keterlibatan aktif dalam aspek pembinaan serta operasi pelabuhan," katanya.
Pemeteraian MoU pada majlis hari ini antara lain melibatkan kerjasama di antara PKNS dan Yayasan Selangor dalam merancang sebuah kawasan pembangunan baharu yang mampan dan berdaya saing di atas tanah milik Yayasan Selangor di Pulau Carey bagi tujuan pembangunan Pelabuhan Ketiga.
Inisiatif strategik itu turut merangkumi penilaian model perniagaan usahasama yang sesuai serta berdaya maju, di samping merangka terma pembangunan pada fasa seterusnya.
Pada majlis itu, PKNS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mahmud Abbas manakala Yayasan Selangor diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Raja Nazirin Shah Raja Mohamad dengan disaksikan Amirudin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami