SHAH ALAM: Keputusan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengimport sepenuhnya daging babi bagi memenuhi permintaan pasaran negeri itu dilihat sebagai langkah mampan terhadap pemeliharaan alam sekitar berbanding meneruskan penternakan tempatan, walaupun dilaksanakan dengan kawalan ketat.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran, berkata pendekatan itu lebih selamat kerana faktor geografi dan rangkaian sistem perparitan Selangor saling bersambung dengan sungai, sekali gus menjadikan aktiviti penternakan berskala besar berisiko tinggi mencemarkan sumber air.
Advertisement
“Selangor adalah negeri maju, namun kekurangan sumber air mentah berkualiti. Ditambah pula sistem perparitan bersambung kepada sungai, maka operasi ladang yang tidak terkawal akan memberikan risiko pencemaran bau dan air.
“Jika dilihat daripada konteks kepadatan penduduk, kekurangan sumber air mentah, serta risiko pencemaran yang tinggi, keputusan ini adalah langkah yang lebih mampan,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata kerajaan negeri bersetuju supaya keperluan daging babi bagi pasaran Selangor diimport sepenuhnya, selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan.
Amirudin berkata ketika ini, 70 peratus keperluan daging babi di Selangor diimport dari negeri lain dan keputusan itu diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang babi kepada alam sekitar, termasuk pencemaran air dan bau.
Menjelas lanjut, Piarapakaran berkata kes pencemaran ladang babi di Tanjong Sepat sebelum ini memberi kesan kepada kawasan hilir sungai serta mengganggu ekosistem persisiran pantai, selain laporan tahunan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang mengenal pasti penternakan babi sebagai antara penyumbang utama pencemaran air di Malaysia setiap tahun.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Centre for Water and Energy Sustainability (CWES), menegaskan sekiranya berlaku penutupan ladang, langkah pemulihan perlu diberi keutamaan termasuk rawatan dan pemuliharaan kolam olahan sisa bagi memastikan air bawah tanah serta efluen terawat dipulihkan.
“Pemantauan ekosistem sungai dan pesisir pantai adalah satu kemestian supaya status pemulihan dapat dipantau secara berkala. Sisa yang diolah juga perlu dilupuskan dengan kaedah yang sesuai,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata keputusan kerajaan negeri itu selari dengan Dasar Alam Sekitar Negara yang menekankan pembangunan mampan, pengurusan sumber secara bertanggungjawab, dan kepatuhan terhadap standard alam sekitar yang tinggi.
“Menuju sebagai negara maju, kita sepatutnya mempunyai industri ternakan yang moden, efisien, dan dikawal rapi dengan prosedur ketat keselamatan makanan, kesejahteraan haiwan, dan kelestarian alam sekitar, tetapi realitinya kedua-dua elemen tersebut masih belum tercapai,” katanya.
Beliau turut menekankan cabaran keselamatan makanan sekiranya Selangor beralih kepada import sepenuhnya, termasuk pengambilan bekalan dari luar negara kerana ia bukan sekadar isu kecukupan bekalan, tetapi tahap pergantungan yang terlalu tinggi.
“Cabaran sebenar bukan bekalan, tetapi pergantungan mutlak. Menteri Besar Selangor mengesahkan 70 peratus bekalan ketika ini sudah diimport dari negeri lain, jadi peralihan kepada 100 peratus import mendedahkan Selangor kepada risiko kejutan rantaian bekalan dan ketidaktentuan harga,” katanya.
Zainal Ariffin turut menekankan bahawa mekanisme pengawasan penyakit perlu diperkasa segera, memandangkan terdapat insiden rampasan ratusan tan daging seludup dan bangkai babi haram.
Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) juga digesa mempertingkatkan pensampelan rawak di gudang sejuk beku serta pengesahan dokumen veterinar, khususnya dari negara berisiko.
“Walaupun kuasa pelesenan import terletak di bawah Persekutuan, Selangor boleh mendesak pengiktirafan bersama terhadap pensijilan setara dengan piawaian ‘Modern Pig Farming’ yang digariskan KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia).
“Sumber import dari negara seperti Australia, United Kingdom, dan Kesatuan Eropah wajar diutamakan kerana status bebas penyakit serta piawaian kebajikan haiwan yang tinggi, selain boleh mencadangkan pelaksanaan senarai putih ladang sumber yang diaudit oleh DVS dan bukan sekadar bergantung kepada dokumen permit semata-mata,” katanya.
-- BERNAMA