Skip to main content

Malaysia

Pencerobohan tanah: Tidak boleh ambil tindakan sendiri, wajib ikut proses mahkamah - MB Selangor

Datuk Seri Amirudin Shari di Pejabat MB Selangor
"Semua pihak dilarang mengambil tindakan sendiri dalam kes pencerobohan tanah. Setiap isu, termasuk pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan, mesti melalui proses mahkamah.” - Pejabat MB Selangor

KUALA LUMPUR: Semua pihak tidak dibenarkan mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah sekiranya berlaku pencerobohan tanah, termasuk melibatkan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan di Negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketetapan itu dibuat susulan insiden di Rawang yang menimbulkan pelbagai reaksi serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Advertisement

“Semua pihak tidak boleh mengambil tindakan sendiri tanpa melalui proses mahkamah. Ini berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Briged, Yang Dipertua Majlis dan Pegawai Daerah bagi membincangkan tahap keselamatan awam negeri.

Menurut beliau, PDRM sedang menyiasat insiden yang berlaku di Rawang dan tindakan lanjut akan melalui proses undang-undang sewajarnya.

Amirudin menjelaskan, secara keseluruhan terdapat dua isu utama melibatkan rumah ibadat tidak sah di Selangor iaitu yang didirikan di atas tanah milik kerajaan negeri; dan di atas tanah milik persendirian.

Bagi rumah ibadat yang menduduki tanah kerajaan negeri, beliau telah mengarahkan supaya prosedur sedia ada dipertingkatkan termasuk memperkukuh Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa LIMAS serta memastikan tindakan lebih terselaras di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, bagi rumah ibadat yang dibina di atas tanah persendirian, proses sedia ada memerlukan pemilik tanah melantik peguam untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum sebarang pengosongan atau perobohan boleh dilaksanakan.

Mengambil kira aspek keselamatan, MKN Negeri Selangor turut memutuskan bahawa mana-mana pemilik tanah yang mendapati berlaku pencerobohan perlu membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan pendakwaan dimulakan sekiranya terdapat kesalahan.

Selain itu, notis juga perlu dihantar kepada pihak penceroboh dan dimaklumkan secara rasmi kepada Pejabat Daerah.

Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan Pegawai Daerah telah diaktifkan di semua daerah sebagai pengantara bagi memanggil semua pihak terlibat termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencari penyelesaian munasabah.

Sekiranya rundingan tidak mencapai penyelesaian, JKD akan menasihatkan supaya proses mahkamah diteruskan oleh pemilik tanah.

Beliau menegaskan pendekatan tersebut bertujuan memastikan setiap isu ditangani melalui saluran undang-undang dan pihak berkuasa, sekali gus mengelakkan sebarang insiden yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama serta menggugat keharmonian negeri.

Must Watch Video