MALAYSIA
Selangor Twin Accelerator simbol komitmen Selangor lonjak ekonomi digital berasaskan AI

Selangor Twin Accelerator dilancarkan sebagai inisiatif mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital berasaskan AI dan mentransformasikan PKS serta syarikat pemula ke arah daya saing global. -Foto Sidec
KUALA LUMPUR: Selangor Twin Accelerator menjadi manifestasi Kerajaan Selangor dalam memacu lonjakan ekonomi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI), sekali gus mentransformasikan landskap usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke arah daya saing bertaraf global dalam era ekonomi baharu.
Ringkasan AI
- Selangor Twin Accelerator dilancarkan sebagai inisiatif mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital berasaskan AI dan mentransformasikan PKS serta syarikat pemula ke arah daya saing global.
- Program selama 12 minggu ini memberi fokus kepada bioteknologi, mobiliti pintar dan teknologi sifar karbon, dengan sokongan latihan intensif, pembangunan perniagaan dan kerjasama antarabangsa.
- Sidec turut menekankan pembinaan ekosistem teknologi menyeluruh bagi mengekalkan bakat tempatan dan memperkukuh kedudukan ekonomi digital negeri dalam jangka panjang.
"Tahun ini, kami tumpu kepada sektor AI yang menjadi nadi baharu kepada pelbagai industri.
"Program ini berlangsung selama 12 minggu, melibatkan modul-modul latihan intensif, pemikiran strategik serta sokongan pembangunan perniagaan," katanya dalam Agenda AWANI, di sini, pada Selasa.
Tambah Salman, sehingga kini, lebih 700 syarikat pemula atau start-up sudah dibimbing melalui pelbagai program Sidec, dengan nilai pembiayaan berjumlah RM200 juta disalurkan melalui kerjasama rakan industri tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, tiga bidang teknologi yang dikenal pasti sebagai fokus utama program tahun ini ialah bioteknologi, mobiliti pintar (smart mobility) dan teknologi menuju sifar karbon (net zero technology).
"Kita lihat teknologi seperti AI dapat mempercepat dan menambah baik penyelesaian dalam sektor-sektor penting.
"Contohnya, syarikat kitar semula karbon yang kita bantu tahun lalu menunjukkan hasil lebih efisien selepas mengintegrasikan AI dalam operasinya," jelas Salman.
Bagi memperluas jangkauan dan pendedahan syarikat teknologi tempatan ke peringkat global, beliau berkata, Sidec turut menjalinkan kerjasama strategik dengan organisasi antarabangsa seperti Plug and Play, yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan mempunyai 60 cawangan di seluruh dunia termasuk di Singapura.
"'Kerjasama ini memberi peluang syarikat tempatan mendapat perhatian pelabur luar dan industri global. Fokus kami ialah melahirkan penyelesaian berskala global daripada tanah Selangor sendiri," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata, isu kekurangan tenaga mahir atau bakat dalam bidang teknologi juga diambil perhatian, dengan penekanan terhadap pembinaan ekosistem menyeluruh yang merangkumi syarikat, industri, institusi latihan dan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
"Malaysia sebenarnya mempunyai ramai bakat berpotensi, tetapi cabarannya ialah bagaimana kita mengekalkan mereka agar tidak berhijrah ke luar negara.
"Maka, melalui program seperti ini, kita bina ekosistem supaya mereka dapat berkembang dan menyumbang di dalam negara," tambahnya.
Menurut Salman lagi, Selangor kini berada pada landasan kukuh hasil pembangunan berterusan sejak 2015, dengan lebih 70,000 penyertaan individu dan entiti dalam pelbagai program digital di bawah kendalian Sidec.
"Graduan dan bakat baharu yang menyertai program ini bukan sahaja dapat membina kemahiran, malah berpeluang bekerjasama dengan syarikat korporat dan pelabur global, sekali gus memperkukuh kedudukan ekonomi digital negeri dalam jangka masa panjang," ujarnya.
Menurutnya, program Selangor Twin Accelerator bukan sekadar latihan, tetapi manifestasi kesungguhan negeri membina hab teknologi dan inovasi digital yang berdaya tahan, kompetitif, dan berskala antarabangsa.
Selangor Twin Accelerator 2025 merupakan sebuah program dwifokus bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat pemula (startup) dan PKS ke peringkat antarabangsa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami