Skip to main content

Malaysia

Peniaga burger antara dua diberkas kes curi kabel di Kajang

https://www.sinarharian.com.my/article/779209/berita/semasa/peniaga-burger-antara-dua-suspek-ditahan-kes-curi-kabel
Tular video di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai sedang mencuri kabel di sebuah tamah perumahan. -Foto Sinar Harian

KAJANG: Seorang peniaga burger antara dua lelaki yang ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kedua‑dua suspek diberkas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerusi beberapa serbuan di sekitar Kajang dan Bandar Baru Bangi.

Menurut beliau, tangkapan dibuat hasil maklumat orang ramai serta risikan yang dijalankan pihak polis.

"Suspek pertama berusia 29 tahun merupakan seorang peniaga burger dan mempunyai satu rekod jenayah lampau.

“Suspek kedua pula berumur 43 tahun, tidak bekerja serta mempunyai 10 rekod jenayah dan empat rekod narkotik,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Naazron berkata kedua‑dua suspek direman sehingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia berwarna perak yang dipercayai digunakan semasa kejadian.

“Bagaimanapun, usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan suspek.

“Polis menyeru masyarakat supaya terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah di balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03‑89114243,” katanya.

Terdahulu, tular sebuah video di media sosial memaparkan beberapa individu dipercayai sedang mencuri kabel di sebuah taman perumahan di sini.
Kesemua suspek kemudian bertindak melarikan diri selepas kegiatan mereka disedari dan ditegur penduduk setempat. -Sinar Harian

Must Watch Video