Skip to main content

Malaysia

Selatan Thailand: PDRM tingkatkan risikan, tambah anggota, kesan individu berkait BRN

KUALA LUMPUR, 27 Ogos -- Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bercakap pada sidang media mengenai Op Gali Mega di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.  Turut bersama, Pengarah Kanan Bahagian Perkhidmatan Teknikal Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Datuk Ir Ahmad Zukni Ahmad Khalil (kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika sidang media Op Gali Mega di sini, hari ini. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand, khususnya Kelantan, bagi mengesan kemungkinan kemasukan individu yang mempunyai kaitan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN) susulan perkembangan terbaharu di selatan Thailand.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tumpuan diberikan di kawasan sempadan dari Perlis hingga Kelantan.

Katanya, penambahan anggota, kekuatan risikan dan aset dilakukan di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku pencerobohan atau penyeludupan barangan terlarang.

“Kita akan terus memperkukuhkan penugasan. Kita telah menambah anggota, anggota risikan dan aset di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku pencerobohan atau penyeludupan barangan terlarang.

"Bagaimanapun, maklumat risikan membabitkan individu tertentu, termasuk maklumat yang dikongsi antara pihak berkuasa Malaysia dan Thailand, tidak boleh didedahkan kepada umum," katanya ketika sidang media Op Gali Mega di sini, hari ini. 

Menurutnya, PGA mempunyai pasukan risikan sendiri bagi menjalankan tugas mengikut bidang kuasa PDRM, selain bekerjasama dengan jabatan dan agensi keselamatan lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam pada itu, beliau berkata, situasi keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand masih terkawal berdasarkan lawatannya ke kawasan sempadan di utara negara.

Jelasnya, peningkatan penugasan dibuat susulan kebimbangan pihak berkuasa Thailand berhubung kemungkinan ejen atau individu yang dikaitkan dengan BRN memasuki Malaysia selepas serangan terbaharu di selatan Thailand.

“Kita turut menerima maklumat termasuk senarai individu yang dikehendaki pihak berkuasa Thailand dan sedang menilai sama ada perkembangan di seberang sempadan itu boleh menimbulkan ancaman keselamatan kepada Malaysia, khususnya Kelantan,” katanya.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata pihak polis dan tentera Thailand meminta bantuan Malaysia untuk mengesan ejen atau individu yang dikaitkan dengan BRN dan dipercayai telah merentasi sempadan.

Must Watch Video

Advertisement