ISLAMABAD:Penyanyi dan pelakon terkenal, Cher mengunjungi Pakistan pada Jumaat untuk meraikan pemergian Kaavan, diberi jolokan "gajah paling sunyi di dunia", yang akan meninggalkan sebuah zoo di Pakistan bagi menjalani kehidupan yang lebih baik.

Jadual Cher tidak diumumkan atas sebab keselamatan, kata Martin Bauer dari Four Paws International, sebuah kumpulan kebajikan haiwan yang berpusat di Vienna yang mengetuai misi menyelamatkan Kaavan.

Gajah itu sudah berada di zoo berkenaan selama 35 tahun, dan kehilangan pasangannya pada 2012.

Ia mempunyai masalah berat badan berlebihan dan kekurangan zat, selain turut mengalami masalah tingkah laku.

Ia akan berangkat ke sebuah pusat perlindungan di Kemboja pada Ahad.

Sejak 2016, Cher menggunakan status yang dimiliki bagi membawa 'suara' Kaavan dan bertegas mahukan haiwan itu diberi penempatan semula di lokasi yang lebih baik.

"Terima kasih kepada Cher, serta aktivis tempatan Pakistan, kini Kaavan menjadi tajuk berita utama di seluruh dunia, dan berjaya membawa kepada penempatan semula," kata Bauer kepada The Associated Press pada Jumaat.

Pemeriksaan perubatan pada bulan September menunjukkan kuku Kaavan retak dan terlalu panjang - kesan akibat bertahun-tahun tinggal di kandang yang tidak dijaga dengan baik.

Gajah juga mempunyai masalah tingkah laku seperti menggelengkan kepalanya berulang kali selama berjam-jam, dan doktor haiwan mengesahkan tabiat itu terhasil akibat kebosanannya.

Bauer memuji langkah selebriti yang gigih memperjuangkan hak haiwan.

"Selebriti mampu membantu mencetuskan kesedaran umum dan meningkatkan tekanan kepada pihak yang bertanggungjawab," katanya.

"Apapun sokongan dari segenap lapisan pencinta haiwan memainkan peranan yang sangat penting," tambahnya.