IPOH: Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mula mengambil pelatih juruterbang dalam kalangan pegawai wanita mulai tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ia adalah pegawai wanita kumpulan pertama sejak unit itu ditubuhkan pada 1979.

Menurutnya, untuk pengambilan terbaharu tahun ini, selain daripada pengambil lima pelatih lelaki, pihaknya juga akan mengambil lima pelatih wanita.

“Saya berharap dalam kursus-kursus selanjutnya selepas ini, penyertaan pegawai-pegawai wanita sebagai juruterbang pasukan gerakan udara ini akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pemakaian sayap juruterbang dan penutupan rasmi kursus Private Pilot’s Licence (PPL) No 18, Siri 01/2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara PDRM di sini, hari ini.

Abdul Hamid yakin kemampuan warga kerja wanita dalam PDRM di dalam 10 jabatan di bawah pasukan itu.

Beliau telah mengarahkan Bahagian Latihan PDRM untuk mencari calon-calon yang sesuai untuk kemasukan pertama tahun ini.

Menurutnya, sejak Unit Udara PDRM ditubuhkan lebih 40 tahun lalu, hanya terdapat pemerhati udara dalam kalangan anggota polis wanita.

Beliau juga yakin ramai pegawai polis wanita yang berminat untuk menjadi juruterbang yang akan dilatih di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara PDRM di Ipoh.

“Dari segi keupayaan, saya yakin mereka boleh melakukannya. Dalam Pasukan Gerakan Am, Senoi Praaq, FRU pun ada wanita, apa lagi kapal terbang,” ujarnya.

Pada majlis itu, sembilan pegawai berpangkat Asisten Superintendan dan Inspektor menerima pemakaian sayap masing-masing.