KUALA LUMPUR:
Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Minuman Semenanjung Malaysia (NUDIW) mengesa kerajaan untuk memulangkan wang simpanan yang telah dikeluarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan golongan B40 dan M40 sepanjang setahun lalu.

Menurut Presiden NUDIW Zulfakar Mohamed, kerajaan tidak sewajarnya menggunakan simpanan KWSP dengan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan masing-masing, sebagai satu kaedah di bawah pakej rangsangan ekonomi ketika pandemik COVID-19.

“Ia bukan merupakan satu Langkah yang adil dan bijak.

“Oleh itu, Kerajaan wajar dan patut mengembalikan lebih RM100 bilion yang telah dikeluarkan secepat mungkin sebaik ekonomi negara pulih.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan membantu rakyat yang berada dalam kesusahan ekoran krisis termasuk kewangan dan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Zukfakar berkata kesan membenarkan pengeluaran itu menyaksikan sebahagian besar pencarum kini berada dalam kitaran kemiskinan.

“Sebagaimana kerajaan memutuskan untuk mengembalikan wang yang digunakan untuk membeli vaksin susulan tekanan dan desakan pelbagai pihak, dalam hal ini kerajaan sepatutnya berbuat demikian demi masa depan pencarum B40 dan M40.

“Difahamkan, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membenarkan pengeluaran simpanan untuk gunaan waktu persaraan oleh para pencarum untuk dikeluarkan.

Gesaan NUDIW dikeluarkan selepas Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) melakukan gesaan agar kerajaan memulangkan wang dikeluarkan pencarum B40 dan M40 melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra demi perlindungan ahli selepas persaraan.

Untuk rekod, pengeluaran pencarum melalui tiga skim tersebut mencecah RM101.1 bilion setakat 31 Oktober 2021.