Skip to main content

Malaysia

Selepas rekod dunia, Dr Kjey sasar tiga cabaran kecergasan dalam lima jam

LIPIS, 30 Jun - Atlet kecergasan K Jey Prabakaran Thevar atau lebih dikenali Dr Kjey berjaya mencipta rekod dunia ketiganya dalam acara kardio dan angkat berat tanpa henti selama 18 jam pada Ahad lepas. Selain itu, beliau turut menempa nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan itu. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dr Kjey berjaya mencipta rekod dunia ketiganya dalam acara kardio dan angkat berat tanpa henti selama 18 jam. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUANTAN: Selepas mencipta rekod dunia ketiga dalam acara kardio dan angkat berat tanpa henti selama 18 jam, atlet kecergasan negara K Jey Prabakaran Thevar kini menyasar untuk menempa nama dalam Asia Book of Records.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Kjey berkata sasaran itu merupakan peningkatan daripada rekod Malaysian Book of Records (MBOR) yang dicapainya sempena Hari Sukan Negara tahun lepas menerusi cabaran leg extension, squat dan jumping jacks masing-masing sebanyak 3,000 kali.

“Semasa rekod MBOR, saya melakukan ketiga-tiga cabaran itu dalam tempoh dua hari, iaitu most squat dan jumping jacks pada hari pertama, manakala leg extension pada hari berikutnya.

"Kali ini, saya akan melakukan ketiga-tiga cabaran berkenaan dalam satu hari dalam tempoh kira-kira lima jam bagi mencipta rekod peringkat Asia,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Percubaan itu akan dilaksanakan di Nethaji Hall, Kuala Lumpur pada 1 Nov ini. 

Selain memecah rekod MBOR yang dilakukan pada Jun lepas, atlet berusia 29 tahun itu turut menempa nama dalam Rekod Dunia Guinness (GWR), dan Influencer Book of World Records

Anak jati Kuala Lipis itu berkata usaha mencipta rekod baharu berkenaan bukan semata-mata untuk menambah pencapaian peribadi, sebaliknya sebagai inspirasi kepada golongan muda supaya lebih aktif dalam bidang kecergasan.

Presiden Pertubuhan Kecergasan Malaysia India (MIFIT) itu berkata beliau mahu menggunakan platform berkenaan untuk menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai program kecergasan yang dianjurkan persatuan itu.

“Sebagai seorang presiden, saya perlu melakukan sesuatu untuk memberikan motivasi kepada lebih ramai golongan muda supaya menyertai MIFIT dan aktif dalam program-program kecergasan.

“Sebagai atlet pula, saya mempunyai keyakinan untuk mencipta lebih banyak rekod pada masa akan datang,” katanya sambil menambah pertubuhan itu kini mempunyai lebih 400 ahli di seluruh Malaysia, selain mempunyai cawangan di Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Dr Kjey berkata persatuan itu juga sedang merancang untuk membuka cawangan di Pulau Pinang bagi memperluas penglibatan masyarakat dalam aktiviti kecergasan, dengan sasaran 1,000 ahli baharu di seluruh negara.

Mengenai persiapan menghadapi percubaan rekod baharu itu, Dr Kjey berkata keadaan fizikalnya  berada dalam keadaan baik, selain jadual latihan, pemakanan serta waktu rehat telah disusun oleh jurulatihnya, Mohd Shazwan Mohd Luthfi Ismail. 

“Persiapan kali ini lebih mudah kerana saya sudah mempunyai pengalaman melakukan beberapa percubaan rekod sebelum ini. Jadi, kami yakin dapat mencipta satu lagi rekod,” katanya.

Selain itu, beliau berkata masih banyak jenis latihan kecergasan yang boleh dijadikan cabaran untuk mencipta rekod pada masa akan datang, antaranya back row, chest press dan bench press.

-- BERNAMA 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement