Skip to main content

Malaysia

Selepas Tabung Haji, Radzi persoal pula pinjaman RM127 juta KPF kepada Al-Rawda

PUTRAJAYA, 29 Okt -- Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menjawab pertanyaan media selepas Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di SMK Putrajaya Presint 16 (1) hari ini.  --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Radzi mendakwa berdasarkan penelitiannya terhadap penyata kewangan KPF bagi tempoh 2014 hingga 2025, baki pinjaman kepada Al Rawda Investment for Real Estate Development & Project Management Ltd pernah mencecah kira-kira RM127 juta pada 2018. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Selepas nama Al-Rawda menjadi perhatian susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Radzi Jidin kini mempersoalkan pula rekod pembiayaan melibatkan syarikat dengan nama sama dalam penyata kewangan Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF).

Radzi mendakwa berdasarkan penelitiannya terhadap penyata kewangan KPF bagi tempoh 2014 hingga 2025, baki pinjaman kepada Al Rawda Investment for Real Estate Development & Project Management Ltd pernah mencecah kira-kira RM127 juta pada 2018.

Dakwanya, rekod menunjukkan baki pinjaman kepada syarikat berkenaan bermula sekitar RM2.1 juta pada 2014 sebelum meningkat kepada RM9.9 juta pada 2015, RM40.5 juta pada 2016, dan RM41.3 juta pada 2017 sebelum mengambil kira penjejasan hutang.

Pada 2019 pula, dakwanya, baki pembiayaan yang direkodkan berjumlah RM119.4 juta.

“Berdasarkan penyata kewangan 2020 hingga 2025, baki pinjaman kepada Al-Rawda ini kekal pada RM119.4 juta,” dakwanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata bagi tempoh 2014 hingga 2017, jumlah berkenaan dinyatakan dalam penyata kewangan KPF di bawah kategori "Lain-lain Penghutang", manakala mulai 2019 ia direkodkan di bawah kategori "Pembiayaan Korporat".

Dakwanya lagi, penyata kewangan KPF 2019 turut menyatakan koperasi itu sedang dalam proses mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut pemulihan jumlah tersebut.

Penyata kewangan KPF 2025 pula, katanya, masih merekodkan penghutang pinjaman daripada Al Rawda sebanyak RM119.379 juta, selain menyatakan proses tindakan bagi mendapatkan semula jumlah berkenaan masih berjalan.

 

Persoal kaitan Al-Rawda dengan urus niaga TH

Dalam hantaran sama, Radzi membangkitkan persoalan sama ada Al-Rawda yang disebut dalam penyata kewangan KPF merupakan syarikat sama atau mempunyai kaitan dengan Al-Rawda yang dinamakan dalam Laporan RCI Tabung Haji.

Laporan RCI TH antara lain menyentuh perjanjian pajakan empat hotel di Madinah dan Mekah pada 2015, 2016 dan 2017 melibatkan bayaran secara pendahuluan berjumlah 1.426 bilion Saudi Riyal atau kira-kira RM1.5 bilion.

Menurut Radzi, terdapat sedikit perbezaan pada nama syarikat yang digunakan dalam Laporan RCI dengan nama yang tercatat dalam penyata kewangan KPF.

Bagaimanapun, beliau merujuk kenyataan media TH bertarikh 10 Januari 2018 berkaitan peletakan logo rasmi di empat hotel penginapan jemaah haji di Tanah Suci yang menggunakan nama Al-Rawda Investment for Real Estate Development & Project Management Ltd.

Kenyataan itu, dakwanya, turut menyebut nama "Dr Mashhoor Ali Al Madodi".

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada syarikat yang dirujuk dalam Laporan RCI TH dan penyata kewangan KPF merupakan entiti sama atau mempunyai kaitan.

Radzi turut meminta penjelasan sama ada Dr Mashhoor Ali Omar Almadoodi yang disebut dalam Laporan RCI TH dan Dr Mashhoor Ali Al-Madodi dalam penyata kewangan KPF merupakan individu yang sama.

 

Hotel di Madinah jadi persoalan

Menurut Radzi, penyata kewangan KPF 2021 menyatakan bahawa sekiranya Al-Rawda gagal membayar semula pembiayaan, Dr Mashhoor sebagai penjamin akan bertanggungjawab terhadap hutang dan tanggungan yang masih belum dijelaskan.

Penyata itu, dakwanya, turut merekodkan Altahliya Hotel di Jeddah dan Rauda Al Aqiq Hotel di Madinah sebagai cagaran dengan nilai saksama masing-masing sekitar RM223.19 juta dan RM276.75 juta.

Perkara itu menimbulkan satu lagi persoalan, katanya, sama ada Rauda Al Aqiq Hotel yang disebut sebagai cagaran kepada KPF merupakan hotel sama dengan Hotel Al-Aqiq yang dipajak TH daripada Al-Rawda.

“Adakah Rauda Al Aqiq Hotel yang dicagarkan oleh Al-Rawda kepada KPF adalah hotel sama yang telah dipajakkan oleh Al-Rawda kepada pihak Tabung Haji?” soalnya.

 

KPF perlu beri penjelasan

Radzi berkata perkara itu memerlukan penjelasan KPF memandangkan anggotanya terdiri antaranya daripada peneroka dan ahli keluarga mereka, koperasi peneroka, kakitangan FELDA serta koperasi kakitangan FELDA.

Antara persoalan yang dibangkitkan ialah asas pembiayaan sehingga baki pinjaman mencecah RM127 juta, proses due diligence yang dilakukan sebelum pembiayaan diberikan serta pihak yang bertanggungjawab meluluskannya.

Beliau turut meminta KPF menjelaskan status terkini proses undang-undang atau timbang tara bagi mendapatkan semula baki RM119.4 juta itu selepas perkara berkenaan mula dinyatakan dalam penyata kewangan sejak 2019.

Radzi juga membangkitkan persoalan sama ada pembiayaan tersebut mematuhi Seksyen 51(1) Akta Koperasi 1993 dan peruntukan berkaitan dalam Undang-Undang Kecil KPF.

Menurutnya, isu itu wajar diperjelaskan bagi memberi keyakinan kepada anggota KPF mengenai pengurusan dana mereka.

“Apakah terdapat banyak lagi urus niaga sebegini melibatkan institusi yang menjaga dana rakyat?” katanya.

Sebelum ini, Radzi turut membangkitkan di Dewan Rakyat isu tadbir urus dan pelaburan yang diketengahkan dalam Laporan RCI Tabung Haji, termasuk urus niaga melibatkan Al-Rawda.

Must Watch Video

Advertisement