KUALA LUMPUR: Langkah Kementerian Luar (Wisma Putra) memanggil balik Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Konsul Jeneral Malaysia di Dubai kerana gagal menyelaras urusan pentadbiran dan logistik semasa lawatan perdana menteri ke UAE akhir bulan lepas, perlu diselesaikan secara berhemah di peringkat dalaman.

Bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar menegaskan tindakan mempolitikkan isu berkenaan oleh mana-mana pihak bukan sahaja menjejaskan imej kementerian dan kerajaan, malah reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Amalan memanggil balik diplomat apabila berlaku kesilapan yang besar semasa lawatan rasmi adalah normal, negara lain juga ada yang memanggil balik duta mereka dalam tempoh 24 jam, jadi bukanlah sesuatu yang pelik kepada Malaysia.

"Tetapi dalam kes ini, saya tahu saya tidak boleh bercakap bagi pihak Menteri Luar atau Pejabat Perdana Menteri, tetapi bagi saya, ia sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik," katanya ketika dihubungi Bernama.

Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan kegagalan menyelaraskan protokol menyebabkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh Imigresen Dubai semasa lawatannya ke UAE pada 29-31 Mac lepas.

Selain itu, Wisma Putra berkata liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk perdana menteri seperti amalan Prosedur Operasi Tetap (SOP) biasa juga tidak ada.

Berdasarkan pengalamannya, Syed Hamid berkata terdapat protokol asas dalam mengendalikan lawatan ketua kerajaan yang dilaksanakan Wisma Putra sejak sekian lama, namun beliau berpandangan terdapat isu komunikasi sehingga menyebabkan kegagalan berkenaan.

Berdasarkan amalan biasa, katanya terdapat perbezaan antara pengurusan lawatan rasmi, lawatan kerja atau lawatan peribadi kerana setiap jenis lawatan akan mendapat respon berlainan daripada pihak tuan rumah.

"Untuk lawatan peribadi pun, biasanya duta kita di negara tuan rumah, kerana kaliber mereka, mereka akan menyelaraskan protokol asas untuk perdana menteri seperti keselamatan dan sebagainya. Apa yang terjadi ini perkara asas yang tidak patut terjadi.

"Episod begini, menteri perlu bertanggungjawab menangani dan mengurus dengan bijaksana. Ianya adalah persoalan tanggungjawab dan akauntabiliti. Banyak yang perlu ditambahbaik.

"Dahulu amalan lazim apabila ada lawatan perdana menteri, menteri akan pergi dahulu. Amalan saya, saya akan sampai sehari atau dua hari awal dan kita memastikan semua persediaan berjalan lacar. Saya tidak tahu macam mana amalan sekarang," katanya.

Mengenai hubungan dua hala Malaysia-UAE, Syed Hamid berkata pada peringkat awal dan jangka pendek, isu berkenaan mungkin akan memberi kesan negatif kepada hubungan kedua-dua negara.

Bagaimanapun, oleh kerana hubungan sebenar Malaysia dan UAE adalah mesra dan mendalam, isu itu secara keseluruhannya tidak menjejaskan hubungan jangka panjang kedua-dua negara.

-- BERNAMA