Skip to main content

Malaysia

KBS komited perkasa pembangunan atlet muda secara inklusif

SEPANG, 19 Dis -- Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol bercakap kepada media selepas menyambut ketibaan pasukan menembak dan memanah negara pulang dari Temasya Sukan SEA 2025 Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam ini.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kementerian Belia dan Sukan komited untuk terus memperkasa pembangunan atlet muda negara secara adil, inklusif dan menyeluruh, kata Mordi. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited untuk terus memperkasa pembangunan atlet muda negara secara adil, inklusif dan menyeluruh, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.

Beliau berkata, kisah atlet muda seperti atlet wusyu negara Jazmin Alag mencerminkan semangat juang tinggi dalam kalangan generasi baharu sukan negara, sekali gus menjadi inspirasi kepada ramai anak muda untuk terus berusaha mencapai kejayaan meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Advertisement

“Setiap bakat muda perlu diberi ruang untuk berkembang secara adil tanpa mengira latar belakang, kaum atau tempat asal kerana kejayaan dalam sukan bukan hanya bergantung kepada bakat semata-mata tetapi juga peluang, sokongan dan sistem yang terbuka,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Jazmin pernah melakar sejarah menjadi atlet wusyu wanita India pertama negara yang berjaya meraih pingat emas pada Kejohanan Kungfu Dunia ke-9 di China pada 2023. 

Dalam pada itu, Mordi berkata, KBS akan memastikan lebih ramai bakat muda diberi peluang untuk berkembang dan tidak tercicir daripada sistem pembangunan sukan negara.

Beliau berkata, kerjasama strategik bersama persatuan sukan, kerajaan negeri dan sektor swasta akan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan atlet dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

“Tiada bakat wajar dipinggirkan sekiranya mereka mempunyai disiplin, kemampuan dan kesungguhan untuk berjaya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video