Skip to main content

Malaysia

WHO saran perubatan gaya hidup diintegrasi dalam sistem kesihatan Malaysia

Abeyasinghe berkata jangka hayat rakyat Malaysia diunjur mencecah 80 tahun menjelang 2040, namun tempoh seseorang menikmati kesihatan yang baik ketika ini hanya 64 tahun. - Gambar Bernama
Abeyasinghe berkata jangka hayat rakyat Malaysia diunjur mencecah 80 tahun menjelang 2040, namun tempoh seseorang menikmati kesihatan yang baik ketika ini hanya 64 tahun. - Gambar Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar perubatan gaya hidup diintegrasikan ke dalam sistem penjagaan kesihatan Malaysia, dengan penekanan lebih besar diberikan kepada pencegahan penyakit bagi menangani cabaran populasi menua dan peningkatan penyakit kronik.

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura Dr Rabindra Abeyasinghe berkata pendekatan lebih proaktif diperlukan bagi memastikan peningkatan jangka hayat bermakna bilangan tahun seseorang hidup dalam keadaan sihat menjadi lebih lama.

Beliau berkata jangka hayat rakyat Malaysia diunjur mencecah 80 tahun menjelang 2040, namun tempoh seseorang menikmati kesihatan yang baik ketika ini hanya 64 tahun.

Advertisement

“Tanpa usaha untuk meningkatkan tempoh kehidupan dalam keadaan sihat, seseorang mungkin menghabiskan lebih 15 tahun dalam keadaan kesihatan yang kurang baik, sekali gus memberi beban besar kepada sistem penjagaan kesihatan,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Perubatan Gaya Hidup Malaysia ke-6 di sini baru-baru ini.

Abeyasinghe berkata perubatan gaya hidup tidak seharusnya hanya tertumpu kepada usaha menggalakkan individu mengamalkan tabiat yang lebih sihat, sebaliknya turut melibatkan kerajaan dan komuniti dalam mewujudkan persekitaran yang menyokong kehidupan sihat.

Advertisement

Katanya, akses kepada makanan berkhasiat, kawasan kejiranan yang selamat, kemudahan rekreasi serta peluang untuk melakukan aktiviti fizikal amat penting bagi membantu masyarakat membuat pilihan yang lebih sihat.

Beliau berkata langkah-langkah pencegahan perlu digalakkan sepanjang hayat dan bukannya hanya diperkenalkan selepas seseorang menghidap penyakit kronik atau mengalami masalah kesihatan berkaitan usia.

Menekankan manfaat ekonomi daripada usaha pencegahan, beliau memetik laporan WHO pada 2024 yang menganggarkan bahawa empat penyakit tidak berjangkit (NCD) utama menelan belanja sebanyak RM65 bilion kepada Kerajaan Malaysia.

Beliau berkata setiap ringgit yang dilaburkan dalam usaha mengurangkan pengambilan garam mampu menjana pulangan sebanyak RM60 dalam tempoh 15 tahun, manakala usaha mengawal penggunaan tembakau pula mampu memberikan pulangan sebanyak RM6 bagi setiap ringgit yang dilaburkan.

“Pencegahan dan kesihatan yang baik merupakan satu pelaburan untuk masa depan,” katanya.

Sementara itu, pengasas merangkap Presiden Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM) Prof Adjung Dr Siva Poobalasingam berkata usaha mempersiapkan Malaysia menghadapi populasi menua memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan seluruh lapisan masyarakat, termasuk penggubal dasar, profesional penjagaan kesihatan, tempat kerja, institusi pendidikan, keluarga dan komuniti.

Beliau berkata penuaan yang lebih sihat dapat mengurangkan beban penjaga, membantu warga emas kekal berdikari serta menyokong sistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan.

Malaysia dijangka menjadi negara menua menjelang 2030, dengan 15 peratus daripada jumlah penduduknya diunjurkan terdiri daripada mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

Timbalan Dekan Kesihatan Populasi dan Perubatan Gaya Hidup Weill Cornell Medicine-Qatar, Dr Ravinder Mamtani berkata kerjasama antarabangsa penting dalam memajukan bidang perubatan gaya hidup serta meningkatkan kesihatan awam.

Beliau berkata institusi berkenaan telah membangunkan program Sijil Perubatan Gaya Hidup yang mendapat kelulusan Lembaga Antarabangsa Perubatan Gaya Hidup (IBLM) dan telah melatih kira-kira 400 peserta.

Persidangan anjuran MSLM di sebuah hotel di sini dari 24 hingga 26 Okt itu bertemakan "Lifestyle Medicine: The Foundation of Longevity Medicine" dan memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan gaya hidup lebih sihat serta tempoh kehidupan sihat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement