Skip to main content

Dunia

Faktor cuaca antara fokus siasatan nahas jet peribadi di Florida

Lokasi kejadian di kawasan perumahan di Daerah Palm Beach, selatan Florida di mana pesawat itu dilaporkan menjunam sebelum terhempas. Nahas mengorbankan kesemua individu yang berada di dalam pesawat. -Gambar REUTERS
Lokasi kejadian di kawasan perumahan di Daerah Palm Beach, selatan Florida di mana pesawat itu dilaporkan menjunam sebelum terhempas. Nahas mengorbankan kesemua individu yang berada di dalam pesawat. -Gambar REUTERS
Advertisement

NEW YORK: Keadaan cuaca buruk dilaporkan menjadi antara fokus utama dalam siasatan awal berhubung nahas sebuah pesawat peribadi yang mengorbankan sembilan nyawa di Florida, Amerika Syarikat pada hujung minggu lalu, lapor AFP.

Pegawai Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Tom Chapman berkata pesawat jenis Learjet 60 itu berlepas dari Austin, Texas pada 1537 GMT Ahad menuju ke North Eleuthera di Bahamas.

Bagaimanapun, pesawat berkenaan dilaporkan menjunam sebelum terhempas di kawasan perumahan di Daerah Palm Beach, selatan Florida. Nahas itu mengorbankan kesemua individu yang berada di dalam pesawat.

Advertisement

Pesawat terbabit membawa seorang juruterbang, pembantu juruterbang, dan tujuh penumpang.

Pihak berkuasa tempatan masih belum mendedahkan identiti rasmi semua mangsa kerana proses pengecaman memerlukan analisis DNA berikutan impak kebakaran yang berlaku.

Advertisement

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan juruterbang bersama pesawat itu ialah Nathalia Gadelha Filgeiras, 20, yang memperoleh lesen penerbangan pada usia 17 tahun sebelum memiliki lesen memandu.

Filgeiras dilapor telah mengumpul kira-kira 1,300 jam penerbangan dan mula bekerja dengan sebuah syarikat sewaan pesawat yang berpangkalan di Fort Lauderdale, Florida kira-kira sembilan bulan lalu.

Setakat ini, penyiasat masih belum dapat mengesahkan individu yang mengendalikan pesawat ketika ia mula mengalami masalah di udara.

Berdasarkan rakaman audio komunikasi kawalan trafik udara, salah seorang kru kokpit melaporkan keadaan gelora udara sederhana selain masalah pembentukan ais pada struktur sayap pesawat.

Kru terbabit turut memaklumkan bahawa pesawat sedang melalui kawasan hujan lebat dan meminta kebenaran untuk terbang pada altitud lebih tinggi sebelum membuat panggilan kecemasan.

Panggilan terakhir yang direkodkan ialah: "Mayday, mayday, kami berada dalam keadaan laju melampau dan sedang menjunam pada kadar 20,000 kaki seminit."

Chapman mengesahkan kenyataan dalam rakaman itu dibuat oleh kru pesawat kepada pegawai kawalan trafik udara sebelum nahas berlaku.

Rekod penyelenggaraan menunjukkan pesawat berkenaan pernah dilengkapi dengan perakam suara kokpit (CVR), namun NTSB masih belum dapat mengesahkan sama ada peranti itu berada di dalam pesawat ketika kejadian atau berjaya ditemui dalam kawasan serpihan nahas.

Pegawai NTSB turut memaklumkan bahawa nahas itu menyebabkan seorang pengguna jalan raya mengalami kecederaan ringan pada bahagian kaki ketika memandu berhampiran lokasi kejadian.

Pesawat korporat keluaran Bombardier yang mula beroperasi pada 2004 itu dilaporkan dikendalikan oleh Aurora Aviation yang beroperasi menggunakan nama Upper Jets.

Data Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat menunjukkan pemilik berdaftar pesawat berkenaan ialah sebuah syarikat berpangkalan di Delaware yang dikenali sebagai LR60271 LLC.

Must Watch Video

Advertisement