Pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilihat perlu menimbangkan semula hukuman penggantungan yang dijatuhkan kepada Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi, 21, kerana mengambil selfie di atas pentas sewaktu majlis konvokesyen.

Bekas Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, perbuatan itu dilihat biasa dan normal bagi golongan remaja yang terlalu gembira kerana konvokesyen selain satu cara untuk menyalurkan rasa keseronokan.

"Mungkin perlu dipertimbangkan semula hukuman kerana selfie itu. Normal rasanya bagi budak-budak muda untuk berseronok dan berselfie seperti itu. Kalau tidak boleh, pentadbiran hanya perlu maklumkan pada sesi akan datang tentang larangan berselfie.

"Ganas sangat kalau gantung pengajian sehingga setahun atau dua tahun. Memang ganas sangat dan tidak boleh diterima bagi saya. Kita kena lihat dari aspek trending kini. Berselfie adalah satu kebiasaan bagi golongan remaja. Mungkin semasa konvokesyen ia masih dilihat janggal atau pelajar itu masih tidak tahu jika ia tidak boleh dilakukan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: Selfie konvo UiTM: Wajarkah hukuman penggantungan?

Dr. Ibrahim mengulas kenyataan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar yang mengesahkan graduan Diploma Fotografi berkenaan digantung untuk tempoh antara setahun hingga dua tahun selepas tindakan itu dikatakan memalukan universiti.

BACA: Selfie konvo langgar protokol?

Jelas Dr Sahol, tindakan Muhammad Hasrul memalukan UiTM selain memaklumkan, pelajar berkenaan sudah diberi penerangan dan garis panduan sebelum memasuki dewan termasuk larangan selfie di atas pentas.

Tegas Dr Sahol lagi, pelajar berkenaan juga sepatutnya menghormati pensyarah yang meraikannya di dalam majlis berkenaan.
Berselfie adalah satu kebiasaan bagi golongan remaja. Mungkin semasa konvokesyen ia masih dilihat janggal atau pelajar itu masih tidak tahu jika ia tidak boleh dilakukan


Sementara itu, kebanyakan pengguna laman sosial turut merasakan tindakan penggantungan itu terlalu melampau.

Ramai pengguna media sosial yang mengatakan hukuman itu sangat tidak logik apabila kesalahan melanggar protokol konvokesyen dilihat sebegitu serius, malah ada yang membandingkan dengan peluang kedua yang diberi kepada pelajar pedofilia.

Dalam pada itu, tinjauan Astro AWANI ke laman YouTube mendapati terdapat satu aksi tari menari pernah dilakukan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Tari Universiti Malaya (UM) sebelum ini yang dilakukan sebelum menerima ijazah pada tahun 2012.

Bagaimanapun, cara itu dilihat sekadar menghiburkan orang ramai selain tidak mendapat apa-apa hukuman atau cemuhan daripada masyarakat.


Aksi tari menari oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Tari Universiti Malaya (UM) pada tahun 2012 sebelum menerima ijazah - Sumber YouTube Khairil Husni

Sebelum ini, Dr Ibrahim menasihatkan pelajar UiTM untuk tidak membesarkan isu keperluan memasak di kampus atau rumah sewa selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai faktor yang boleh menjadikan mereka mati kebuluran.

BACA: Isu masak di kampus: GST tidak buat pelajar UiTM mati kebulur - Dr Ibrahim

Tegasnya, kontroversi kehadiran Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan di kampus universiti itu untuk menjelaskan isu GST dilihat sengaja diperbesarkan pihak tertentu demi kepentingan kumpulan tertentu.