SEMENYIH : Seramai 11 individu ditahan selepas disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan diesel bersubsidi menerusi Op Kontraban dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, awal bulan ini.

Operasi berkenaan menyasarkan sebuah gudang di Semenyih hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan KPDNHEP.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, daripada kesemua yang ditahan, tiga suspek merupakan warga asing.

Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 59 tahun yang merupakan pekerja di gudang terbabit selain turut menjadi pemandu lori bagi tujuan sindiket.

“Dalam serbuan itu kita merampas tujuh buah lori yang telah diubah suai dengan muatan keseluruhan 3,000 liter minyak diesel, sebuah lori tangki minyak dengan muatan 25,000 liter diesel serta sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux yang diubah suai dengan muatan 400 liter minyak diesel," kata Arjunaidi.

“Turut dirampas 46 unit tong plastik berangka dengan muatan keseluruhan 27,050 liter minyak diesel, tiga tangki minyak statik dengan muatan keseluruhan 39,000 liter minyak diesel, 12 unit telefon bimbit, peralatan mengepam minyak ke dalam tangki dan tiga dokumen urus niaga." 

Arjunaidi berkata demikian dalam satu sidang media di sini, pada Isnin. 

Ujarnya lagi, kesemua hasil rampasan berjumlah RM1.5 juta manakala nilai kerugian direkodkan sebanyak RM203,067.50.

Kegiatan itu katanya telah berjalan sejak tiga bulan lalu dan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan lori yang telah diubah suai sebelum membeli minyak diesel di sekitar Kajang.

Kesemua minyak diesel itu dipercayai disimpan di gudang terbabit sebelum ia dijual semula kepada pihak pengusaha industri.

Tindakan itu merupakan taktik sindiket yang menawarkan harga lebih murah berbanding harga tanpa subsidi iaitu RM5.70.

Dalam pada itu, kesemua tangkapan dan hasil rampasan diserah kepada penguat kuasa KPDNHEP untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kita percaya kegiatan ini masih aktif di Selangor malah di seluruh negara yang telah mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit terhadap negara.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan yang sama diminta tampil untuk salurkan maklumat.

“Maklumat ini penting untuk pihak polis dan KPDMHEP dalam usaha memerangi jenayah tersebut,” katanya lagi.