Lima individu termasuk dua kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia, sepasang suami isteri dan seorang warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes penyeludupan warganegara Bangladesh baru-baru ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, penahanan terbaru itu membabitkan operasi hasil kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Polis diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, suami isteri yang ditahan dipercayai merupakan satu sindiket penyeludupan manusia ke nagara ini.

"Selain pasangan suami isteri itu, seorang warga asing yang terbabit dengan sindiket itu turut ditahan. Tindakan segera perlu diambil bagi membersihkan imej Jabatan Imigresen,"katanya dalam satu sidang media hari ini selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing di sini, hari ini.

Susulan kejadian itu, beliau turut mengarahkan kakitangan di Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dipindahkan.

"40 peratus (daripada 1500 kakitangan) Jabatan Imgresen yang bertugas di kaunter KLIA akan digantikan dengan kakitangan lain," katanya.

BACA: Pekerja asing bolos, Jabatan Imigresen tahan pegawai di KLIA



Semalam, Datuk Seri Ahmad Zahid mengesahkan dua pegawai Jabatan Imigresen di KLIA ditahan berhubung kes penyeludupan warganegara Bangladesh.