SIBU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak dijangka memperoleh hasil lebih baik susulan semakan semula kadar cukai tanah yang bermula awal tahun ini.

Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata Jabatan Tanah dan Survei Sarawak akan mengutip levi daripada ladang kelapa sawit bagi pihak PBT.

Beliau berkata tugas mengutip levi diamanahkan kepada jabatan itu kerana sebelum ini pihak ladang berkecenderungan mengisytiharkan hasil yang lebih rendah berbanding perolehan sebenar dan PBT tidak mampu berbuat apa-apa mengenai perkara tersebut.

"Jika mereka berbuat demikian ketika ini, pihak jabatan boleh mengambil tindakan terhadap mereka termasuk merampas ladang yang tidak mengisytiharkan hasil. Saya tidak fikir mereka mahu perkara seperti ini berlaku," katanya semasa upacara Pelantikan Ahli-Ahli Majlis, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu di sini hari ini.

Dr Sim, yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, berkata sebelum ini pihak ladang membayar hasil sebanyak RM1 juta setahun namun kini kira-kira RM10 juta setahun.

Kadar cukai baharu telah diluluskan pada 16 Jun tahun lepas mengikut Seksyen 30(5) Kanun Tanah Sarawak dan berkuat kuasa awal tahun ini.

Kadar baharu untuk tanah pertanian melebihi 40.47 hektar (pertanian komersial) ialah RM30 sehektar dengan RM25 dikutip sebagai cukai tanah manakala RM5 adalah levi estet oleh jabatan itu bagi pihak PBT.

Pada majlis itu, sejumlah 19 Ahli Majlis sebelum ini yang dilantik semula dan 13 muka baharu mengangkat sumpah bagi penggal 2023-2025.

Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu ialah Sempurai Petrus Ngelai manakala timbalannya ialah Wong Ching Yong.

-- BERNAMA